Benar kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Bermula dengan sesi pembelajaran bersama pelajar pendidikan khas di sekolah, kini seorang guru giat mengusahakan tanaman cili fertigasi di halaman rumahnya.
Mohamad Firdaus Hamzah, 37, lulusan Ijazah Sarjana Pendidikan berkata, beliau menceburkan diri dalam bidang pertanian pada tahun 2017 setelah mengikuti kursus yang dianjurkan Jabatan Pertanian Sibu.
Katanya, sebagai permulaan, beliau bersama pelajarnya mula mengusahakan 100 polibeg tanaman cili fertigasi di sekolah.
Setelah itu, kata Firdaus, beliau memulakan tanaman cili secara kecil-kecilan di tepi rumahnya di Teku di sini dengan kira-kira 90 polibeg.
“Walaupun pada awalnya saya tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenai teknik pertanian ini, tetapi saya tetap usahakan juga kerana melihat potensi yang ada pada tanaman cili fertigasi,” katanya.
Selain cili, Firdaus juga turut mengusahakan tanaman sayuran secara hidroponik bagi memperluaskan lagi pengetahuannya mengenai teknik pertanian moden ini.
Katanya, hasil dari ilmu pengetahuan yang diperoleh dalam bidang pertanian moden ini dikongsikan bersama dengan pelajar sekolah di sekitar Bandar Sibu di sini.
Dalam pada itu, Firdaus memberitahu, pemilihan dan penyediaan tapak projek fertigasi adalah langkah yang harus diambil serius dalam menentukan kejayaan projek penanaman cili fertigasi.
“Tanaman sistem fertigasi bertujuan mengelak serangan penyakit akar disebabkan serangga kulat dan penyakit layu bakteria yang berpunca dari tanah.
“Ini kerana, sistem fertigasi adalah satu kaedah tanaman alternatif bagi mengelakkan penyakit bawaan tanah, di samping meningkatkan hasil tanaman. Dalam sistem ini, pembajaan dan pengairan dilakukan secara serentak.
“Dalam masa yang sama, kita juga perlu memastikan sistem kawalan air yang cekap untuk memastikan pokok cili mendapat bekalan air dan nutrien secukupnya kerana sumber air dan nutrien yang mencukupi menjamin kualiti buah cili dihasilkan,” katanya.
Menurut Firdaus, beliau tidak pernah jemu meluangkan masa memanjakan tanamannya selepas pulang dari kerja untuk menyambung kerja di kebun.
Katanya, masa yang diluangkan untuk menyiram tanaman, membersihkan daun kering serta menghapuskan serangga perosak umpama terapi untuk dirinya.
“Walaupun tanaman cili fertigasi saya tidak sebesar mana, ia cukup membuatkan saya gembira dengan dunia bercucuk tanam.
“Saya pilih kaedah fertigasi kerana ia serasi dengan jadual kerja, selain kawasan kebun yang agak kecil dan kekangan masa terhad,” katanya.
Katanya lagi, hasil tuaian akan dijual kepada penduduk di kawasan kejirananya dan di kedai-kedai sekitar Sibu.
Beliau juga turut mengeluarkan produk ‘Sambal Jantan Ngesit’ yang dihasilkan dari tanaman cili fertigasinya.
Dalam pada itu, Firdaus juga berasa teruja kerana hasil tanamannya juga sudah mampu memenuhi keperluan harian rumah.
“Bagi tanaman sayur, saya jadikan untuk santapan kami sekeluarga. Tidak perlu lagi membeli dan ahli keluarga pun suka kerana lebih bersih dan selamat,” katanya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD