KUALA LUMPUR, 7 Oktober: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus berunding dengan pemegang hak karya seniman agung Tan Sri P. Ramlee bagi mendapatkan salinan karya beliau untuk tujuan pemeliharaan.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata usaha menghubungi pemegang hak telah dilakukan, termasuk dengan Shaw Brothers di Singapura yang memberikan maklum balas kepada FINAS bulan lepas.
“Rundingan ini masih diteruskan kerana antaranya juga ada permintaan daripada pemegang hak tersebut, kita juga baru terima maklum balas daripada Shaw Brothers, pejabat mereka di Singapura,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang ingin tahu sama ada kementerian telah menjalankan audit menyeluruh bagi mengenal pasti hak berkaitan karya P. Ramlee yang masih dimiliki pihak tertentu serta jumlah bahan asal filem yang perlu segera direstorasi.
Teo berkata sekiranya FINAS memperoleh salinan karya berkenaan, usaha terbaik akan dilakukan bagi memastikan bahan tersebut dipelihara dengan baik.
Terdahulu, menjawab soalan asal Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai usaha kerajaan memperoleh atau membeli hak pemilikan, hak cipta atau hak pengurusan filem P. Ramlee, Teo berkata kerajaan ketika ini masih belum memiliki hak cipta ke atas filem seniman itu, namun karya berkenaan tidak diabaikan tanpa pemeliharaan.
Beliau berkata sebahagian besar filem dan lagu P. Ramlee telah disimpan oleh Arkib Negara Malaysia sebagai rekod warisan negara, manakala status pemilikan hak perlu diteliti bagi setiap karya berdasarkan rekod penerbitan, perjanjian dan dokumen berkaitan.
Teo berkata kebanyakan filem P. Ramlee bagi tempoh 1948 hingga 1964 diterbitkan oleh Malay Film Productions, studio milik Shaw Brothers di Singapura, manakala 18 filem lagi dihasilkan di bawah Merdeka Film Productions di Kuala Lumpur antara 1964 hingga 1972.
“Sehubungan dengan itu, kementerian melalui FINAS akan terus meneliti mekanisme terbaik bagi memperoleh dan memanfaatkan karya beliau sebagai aset warisan negara termasuk melalui pemerolehan hak, pengurusan bersama atau bentuk kerjasama yang bersesuaian dengan pemegang hak,” katanya.
Teo berkata penelitian itu mengambil kira kedudukan undang-undang, rundingan dengan pemilik hak, kepentingan waris serta kemampuan kewangan kerajaan supaya sebarang tindakan dapat dilaksanakan secara sah, teratur dan adil kepada semua pihak.
Menjawab soalan tambahan Onn mengenai cadangan mewujudkan arkib digital P. Ramlee, beliau berkata FINAS sememangnya mempunyai usaha mendigitalisasikan semua bahan dalam simpanannya.
“Jadi saya akan semak sama ada FINAS dengan Arkib Negara Malaysia ada kerjasama untuk kita sama-sama mendigitalisasi semua karya Tan Sri P. Ramlee,” katanya.- Bernama



