KUCHING: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan membantu pemain industri filem tempatan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, jawatankuasa ‘ad-hoc’ baru-baru ini ditubuhkan untuk tujuan ini.
“Salah satu inisiatif untuk membantu industri filem tempatan dalam enam bulan kritikal akan datang termasuk menyalurkan dana kepada produser untuk membuat drama, filem atau dokumentari,” katanya ketika mengadakan Lawatan Kerja di Finas Sarawak, semalam.
Tambahnya, permohonan untuk mendapatkan bantuan tersebut sudah terbuka dan pihaknya akan mempercepatkan proses persetujuan pembiayaan.
“Minggu depan, kami juga akan mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat produksi untuk memulakan drama, filem atau dokumentari mereka,” ujarnya.
Beliau turut menggesa pemain industri Sarawak mengambil kesempatan ini dan memohon dana secepat mungkin.
“Saya tidak mahu pemain industri Sarawak ketinggalan. Kami mahu mereka mengambil bahagian dalam program ini dan menggunakan dana untuk memulakan filem mereka, “jelasnya lagi.
Timbalan Pengerusi Finas Datuk Norman Abdul Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Idham Ahmad Nadzri juga menghadiri lawatan kerja mereka yang bertujuan untuk mengadakan sesi dua hala untuk memperkukuhkan hubungan Finas dengan pemain industri serta mendapat input langsung dari industri filem mengenai usaha pemulihan pasca-Covid-19.
Oleh Nur Ain Otsman