BEIJING: Filem “Once Upon A Time In The Middle East” mendapat sambutan amat menggalakkan sejak mula ditayangkan di seluruh China pada 11 Ogos lepas.
Menurut statistik daripada platform internet, kutipan tiket bagi filem berkenaan telah melebihi RMB400 juta (RM241.6 juta) setakat 6.09 petang pada 13 Ogos.
Pencapaian itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kutipan tiket filem di China, termasuk jualan awal, melepasi RMB9.2 bilion (RM5.55 bilion) bagi musim panas tahun ini yang merangkumi tempoh dari 1 Jun hingga 31 Ogos.
“Once Upon A Time In The Middle East” mengisahkan perjalanan hidup seorang tukang masak bernama Xu Fu yang merantau ke luar negara untuk mencari rezeki dengan bekerja di sebuah restoran Cina tempatan.
Xu berdepan pelbagai dugaan akibat peperangan, dengan filem itu memaparkan ketabahan seorang insan biasa mengharungi kehidupan dalam keadaan huru-hara.
Menampilkan pendekatan yang berbeza daripada penceritaan tradisional, filem itu menggunakan makanan sebagai medium untuk meneroka tema kedamaian, kemanusiaan serta makna kehidupan bagi orang biasa.
Dialog dalam filem itu, “di restoran ini, hanya ada keamanan dan makanan sedap,” turut menjadi antara ungkapan yang paling banyak diperkatakan penonton.
Seorang penonton mengulas bahawa “dunia sebenar dapat disaksikan menerusi filem-filem China seperti “Once Upon A Time In The Middle East”, yang mengetengahkan nilai dan perspektif China.” – Bernama-CMG




