
LONDON: FIFA mengesahkan yang hadiah wang tunai sebanyak AS$50 juta akan ditawarkan kepada negara juara pada Piala Dunia musim panas akan datang, ketika pertikaian mengenai harga tiket kejohanan itu terus memuncak, lapor PA Media/dpa.
Majlis FIFA meluluskan jumlah wang hadiah bagi kejohanan itu dalam satu mesyuarat di Doha pada Rabu, dengan jumlah keseluruhan dana yang disediakan untuk negara bertanding ditetapkan sebanyak AS$727 juta, meningkat 50 peratus berbanding Piala Dunia 2022 di Qatar.
Setiap negara akan menerima AS$1.5 juta daripada FIFA bagi kos persediaan, serta sekurang-kurangnya tambahan AS$9 juta kerana beraksi di peringkat kumpulan.
Pengesahan ini dibuat ketika kumpulan peminat menuduh FIFA bermain “permainan PR” berkaitan harga tiket.
Badan induk bola sepak dunia itu mengumumkan pada Selasa yang tiket berharga AS$60 akan disediakan melalui kuota yang dijual oleh persatuan kebangsaan kepada penyokong paling setia mereka, susulan kritikan meluas terhadap struktur harga awal FIFA yang didedahkan minggu lepas.
Namun begitu, hanya 10 peratus tiket dalam kuota itu akan ditawarkan pada harga ini. Sebagai contoh, bagi perlawanan England menentang Croatia, ia hanya memberi manfaat kepada kira-kira 400 daripada lebih 4,000 penyokong yang layak membeli tiket melalui kuota Kelab Penyokong Kembara England (ESTC).
Bagi selebihnya, harga tiket akan bermula pada AS$230 untuk perlawanan pembukaan itu dan melonjak kepada AS$4,185 bagi perlawanan akhir. – Bernama