
PENYANYI, Fian Ali kini kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Setia, sebuah balada menyentuh hati ciptaan pemenang Anugerah Juara Lagu ke-38, Amir Jahari, dengan lirik ditulis bersama Datuk Ayu Puteh.
Menariknya, lagu ini bukan sahaja dipilih sebagai runut bunyi (OST) untuk drama bersiri TV3, Bukan Sekadar Lafaz 2, malah hadir dalam dua versi, iaitu versi perlahan yang penuh emosi dan versi rancak yang membawa jiwa tersendiri.
Setia mengangkat tema pengorbanan dan kesetiaan tanpa syarat, meskipun diuji dengan pelbagai cabaran. Bagi Fian, lagu ini bukan sekadar luahan kesedihan, tetapi juga lambang kekuatan jiwa yang tetap teguh walaupun terluka.
“Sedih tak semestinya menangis, kan? Lagu ni lebih real,” ujar Fian dengan jujur.
Namun proses penghasilan Setia bukan tanpa cabaran. Fian mendedahkan bahawa beliau terpaksa menangguhkan sesi rakaman pada percubaan pertama kerana kurang sihat.
“Amir pesan, suara tak semestinya kena perfect. Kalau dah ada rasa, itu yang penting. Baru sedap dan sampai,” jelas Fian, yang menganggap pengalaman bekerjasama dengan Amir Jahari sebagai sesuatu yang sangat bermakna.
“Dia sabar, kreatif dan banyak beri panduan serta nasihat. Saya banyak belajar daripada dia.”
Amir Jahari pula mengakui lagu ini memang direka khas untuk Fian Ali. “Saya nampak dia sebagai seorang yang sopan, beradab dan tegas. Lagu ni memang ‘tailor-made’ untuk dia. Bila dengar suara dia, saya terus rasa lagu ni mesti ada dua versi,” kata Amir yang mendapat ilham semasa berada di Yogyakarta, Indonesia.
Sebagai antara bakat muda yang semakin menyerlah dalam industri hiburan tanah air, Setia dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh portfolio muzik Fian Ali.
Lagu ini kini boleh didengari di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Dua versi, dua rasa, satu cerita, tentang cinta yang ikhlas, cinta yang bertahan, dan cinta yang setia.
Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.
– Alternate Records & Talents