
KUCHING: Festival Gastronomi Nyamai Sarawak kembali menemui orang ramai tahun ini dengan skala penganjuran yang lebih besar dan berimpak, sempena sambutan Hari Sarawak pada 26 dan 27 Julai 2025.
Bertempat di lokasi ikonik Kampung Budaya Sarawak, festival ini dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung dari dalam dan luar negara, berbanding hampir 15,000 pengunjung yang hadir pada edisi tahun lalu.
Mengangkat tema ‘Warisan Budaya Hari Sarawak dengan Kelestarian’, edisi kali ini menampilkan pendekatan segar yang menggabungkan keunikan budaya pelbagai etnik Sarawak dengan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dan pemerkasaan ekonomi tempatan.
Penganjur menjanjikan pengalaman menyeluruh yang bukan sahaja merangsang deria rasa, malah mendidik masyarakat mengenai nilai pemuliharaan dan warisan.
Antara pengisian yang bakal memeriahkan festival termasuk persembahan kebudayaan, demonstrasi memasak secara langsung, pameran produk tempatan serta pelbagai aktiviti interaktif yang menampilkan elemen permainan tradisional dan bengkel makanan sifar sisa.
Selain itu, festival ini turut memberi ruang kepada pengusaha tempatan memasarkan produk seni dan kraf tangan mereka kepada khalayak lebih luas.
Persiapan festival giat dijalankan hasil kerjasama erat antara pasukan penganjur Nyamai, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan pengurusan Kampung Budaya Sarawak.
Dalam satu mesyuarat strategik baru-baru ini yang dipengerusikan oleh Presiden Nyamai, Datu Edwin Abit, perbincangan tertumpu kepada peluasan skala acara dan usaha memperkukuh impak serta daya tarikan festival sebagai produk pelancongan budaya utama negeri.
Sebagai inisiatif memeriahkan sambutan Hari Sarawak, kemasukan ke Kampung Budaya Sarawak sepanjang dua hari festival adalah percuma.
Pendekatan ini diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung daripada pelbagai latar belakang untuk bersama-sama menghayati kepelbagaian budaya dan rasa yang menjadi identiti negeri ini.
Penganjur kini membuka peluang kepada syarikat dan usahawan yang berminat untuk menyertai sebagai penaja atau vendor dalam festival yang dilihat semakin mendapat tempat di hati masyarakat.
Maklumat lanjut serta pendaftaran boleh didapati melalui laman web rasmi www.nyamai.com atau dengan menghubungi Pengurus Korporat dan Acara, Penina Crystal Philip menerusi talian 017-290 9497.