KUCHING: Festival Cahaya dan Bunga Kuching 2026 serta Luna Light Wonderland di Taman Botani Sarawak ditutup sementara kepada orang awam mulai hari ini susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan di Bandaraya Kuching.
Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pengunjung, petugas serta semua pihak yang terlibat dalam penganjuran kedua-dua acara berkenaan.
Menurutnya, kualiti udara di kawasan Bandaraya Kuching kini berada pada tahap berbahaya dan keadaan itu boleh memberi risiko kepada golongan yang sensitif terhadap pencemaran udara.
“Golongan berkenaan termasuk kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan.
“Sehubungan itu, kedua-dua acara berkenaan akan ditutup sementara sehingga keadaan jerebu kembali berada pada tahap yang selamat dan sesuai untuk aktiviti luar,” katanya dalam satu kenyataan.
DBKU berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan kualiti udara dan keadaan jerebu dari semasa ke semasa.
Menurutnya, maklumat mengenai pembukaan semula kedua-dua lokasi berkenaan akan dimaklumkan kepada orang awam melalui saluran komunikasi rasmi DBKU.
DBKU turut memohon pemahaman orang awam berhubung keputusan berkenaan yang mungkin menimbulkan kesulitan kepada pengunjung.
“Bagaimanapun, keselamatan dan kesihatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan pihak kami.
“Orang awam turut dinasihatkan supaya mengikuti perkembangan terkini berkaitan kualiti udara dan mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk,” ujarnya.





