Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Feri karam: Angka kematian meningkat 19, SAR dihentikan
  • GLOBAL

Feri karam: Angka kematian meningkat 19, SAR dihentikan

Utusan Sarawak 3 years ago

OPERASI… Gambar bertarikh 29 Mei lalu menunjukkan pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) memindahkan mangsa kapal KM Ladang Pertiwi yang kehabisan minyak dan karam dalam cuaca buruk ketika belayar melalui Selat Makassar Indonesia di Wilayah Sulawesi Selatan. • Foto AFP

JAKARTA: Angka kematian sebuah feri karam di perairan Indonesia meningkat kepada 19 orang pada Isnin lalu selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama 10 hari dihentikan, kata pihak berkuasa.

Terdahulu, kapal KM Ladang Pertiwi kehabisan minyak dan karam dalam cuaca buruk ketika belayar melalui Selat Makassar Indonesia di Wilayah Sulawesi Selatan pada 26 Mei lalu.

Berita mengenai kemalangan itu hanya sampai kepada pegawai dua hari kemudian, mendorong operasi SAR yang melibatkan nelayan tempatan dan bot tunda yang melalui selat itu.

Pihak berkuasa menyelamatkan 31 penumpang dan anak kapal, menemui empat mayat dan mengisytiharkan 15 hilang sebelum usaha mencari berakhir dan mereka yang hilang kini dianggap meninggal dunia.

“Kami memberhentikan pencarian kerana tiada tanda bahawa lebih ramai mangsa boleh ditemui,” kara Ketua Operasi SAR Tempatan, Djunaidi.

Kapten kapal itu yang terselamat dalam kejadian karam, dinamakan minggu lalu sebagai suspek kerana membawa penumpang tanpa permit yang diperlukan dan pemilik kapal itu dinamakan sebagai suspek kerana mengambil kru tanpa kelayakan yang sepatutnya, lapor media tempatan.

Djunaidi berkata, nelayan tempatan yang kerap belayar di kawasan itu diberitahu supaya memaklumkan pihak berkuasa jika mereka menemui lebih banyak mayat.

Katanya, operasi SAR boleh dibuka semula sekiranya terdapat tanda mangsa terselamat.

Djunaidi memberitahu sidang akhbar pada Isnin lalu bahawa insiden itu menjadi peringatan untuk ‘mengutamakan keselamatan kita’.

Kemalangan marin adalah perkara biasa di Indonesia, sebuah negara Asia Tenggara dengan sekitar 17,000 pulau yang mana peraturan keselamatan sering dikuatkuasakan secara longgar.

Pada Mei lalu, sebuah feri yang membawa lebih 800 orang terkandas di perairan cetek di luar wilayah Nusa Tenggara Timur dan kekal tersangkut selama dua hari sebelum berjaya bergerak semula. Tiada individu yang cedera dalam kemalangan itu.

Pada 2018, lebih 150 orang mati lemas apabila sebuah feri karam di salah satu tasik terdalam di dunia di Pulau Sumatera. -AFP

Continue Reading

Previous: 14 maut insiden letupan di Afghanistan
Next: Covid-19: Pakar AS mengesyorkan vaksin Novavax

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.