
LONDON, United Kingdom: Suhu mencatat rekod tertinggi bagi bulan Mei di Britain, Ireland dan Perancis pada Isnin ketika peramal cuaca memberi amaran mengenai cuaca panas melampau berpanjangan di seluruh Eropah sepanjang minggu ini.
Fenomena yang dikenali sebagai ‘kubah haba’ akibat udara panas dari Afrika Utara yang terperangkap di bawah sistem tekanan tinggi di Eropah Barat menjadi punca suhu tinggi yang lazimnya hanya berlaku pada pertengahan musim panas.
Suhu di Sepanyol dijangka memuncak sehingga 38 darjah Celsius lewat minggu ini, manakala beberapa kawasan di Itali mengenakan sekatan terhadap kerja luar bangunan.
Di United Kingdom, agensi cuaca Met Office berkata, hari berkenaan merupakan hari paling panas pernah direkodkan bagi bulan Mei dengan suhu mencecah 34.8 darjah Celsius di Kew Gardens, barat daya London, iaitu dua darjah lebih tinggi berbanding rekod terdahulu.

“Cuaca panas ini amat luar biasa di UK walaupun pada pertengahan musim panas, apatah lagi pada Mei,” katanya menerusi X.
“Cuaca di sini seperti versi kecil neraka. Sangat panas dan benar-benar membahang,” kata Liza Nizari, 10, ketika melawat London yang lazimnya mencatat suhu sekitar 17 hingga 18 darjah Celsius pada waktu ini setiap tahun.
Lindy Brand-Daloze, warga Australia berusia 66 tahun yang menetap di London selama 12 tahun berkata: “Memang panas, tetapi inilah perubahan iklim. Jadi, mungkin kita perlu membiasakan diri dengan keadaan ini.”
Saintis berkata, perubahan iklim akibat aktiviti manusia menyebabkan kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba, kemarau dan banjir menjadi semakin buruk, sekali gus menyebabkan rekod suhu lebih kerap dipecahkan.
Pakar meteorologi Met Office, Greg Dewhurst, memberitahu AFP bahawa peningkatan suhu melampau merupakan “petunjuk jelas perubahan iklim sedang berlaku” dan berkemungkinan menjadi “norma baharu”.
Penasihat iklim minggu lalu memberi amaran kepada kerajaan UK bahawa negara itu “dibina untuk iklim yang tidak lagi wujud” serta menggesa penyesuaian infrastruktur seperti sekolah dan hospital bagi menghadapi planet yang semakin panas.
Pada 2022, suhu di UK melonjak melebihi 40 darjah Celsius buat kali pertama sejak rekod dimulakan.

Suhu rekod bagi bulan Mei sebanyak 28.8 darjah Celsius turut direkodkan di dua stesen cuaca di Ireland, iaitu Killarney di barat daya dan Clonmel di selatan, menurut data Met Eireann.
Kebakaran rumput tercetus berhampiran bukit Arthur’s Seat dekat Edinburgh sehingga menyebabkan asap menyelubungi bandar Scotland itu yang mencatat suhu sehingga 25 darjah Celsius, menurut anggota bomba dan BBC.
Amaran Gelombang Haba
Di seberang Selat Inggeris, agensi cuaca Meteo-France berkata, “puluhan” rekod suhu dipecahkan di beberapa bandar di Perancis ketika lapan wilayah di barat negara itu diletakkan di bawah amaran gelombang haba.
Suhu luar biasa tinggi itu dijangka berterusan sehingga hujung minggu.
Pada Isnin, bandar Bergerac di barat mencatat suhu tertinggi 34.7 darjah Celsius, manakala bandar Nantes dan Angers turut merekodkan suhu hampir sama.
Pada Selasa, suhu antara 32 hingga 35 darjah Celsius dijangka melanda sebahagian besar wilayah Brittany di barat, “dengan suhu memuncak sehingga 36 atau 37 darjah Celsius di selatan negara itu,” menurut Meteo-France.
Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu, dijadual mengadakan mesyuarat pada Khamis bersama menteri berkaitan bagi meneliti persiapan kerajaan menghadapi gelombang haba berkenaan.
Paris pula merekodkan suhu pertama melebihi 30 darjah Celsius tahun ini pada Sabtu lalu apabila mencecah 31.9 darjah Celsius.
Pada Ahad, seorang lelaki meninggal dunia ketika menyertai perlumbaan larian sejauh 10 kilometer di Paris, menurut perkhidmatan pertahanan awam, manakala 10 lagi peserta dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal selepas menyertai perlumbaan di pinggir bandar Maisons-Alfort.
Cuaca panas terik pada Isnin turut menyebabkan peminat tenis di Roland-Garros, Paris, berdepan keadaan membahang.
Loick Labrousse yang menyapu krim pelindung matahari pada hidungnya berlindung di sebuah gerai kopi.
“Matahari sangat terik tepat di atas gelanggang utama,” katanya. “Selepas dua jam, keadaan menjadi sangat mencabar.”
Kerja Luar Dihadkan
Di Sepanyol, Agensi Meteorologi Negara (Aemet) memberi amaran bahawa “suhu luar biasa tinggi bagi tempoh ini” akan berterusan di seluruh negara sepanjang minggu ini kecuali di Kepulauan Canary di Lautan Atlantik, di luar pantai barat laut Afrika.
“Malam tropika secara meluas” turut diramalkan di barat daya Sepanyol mulai Rabu dengan suhu memuncak antara Rabu hingga Jumaat pada paras 36 hingga 38 darjah Celsius, menurut hantaran di X.
Lebih ke timur, wilayah Lazio di Itali yang merangkumi Rome pada Isnin meluluskan peraturan mengehadkan kerja dalam keadaan “terdedah secara berpanjangan kepada cahaya matahari” antara 12.30 tengah hari hingga 4 petang.
Langkah itu melibatkan sektor seperti pertanian, tapak pembinaan dan logistik serta berkuat kuasa sehingga 15 September.
Peraturan sama pernah dilaksanakan tahun lalu, namun hanya bermula pada 30 Mei. – AFP