


MIRI: Fenomena lambakan udang geragau atau ‘bubuk’ yang berlaku di perairan Miri sejak sebulan lalu bukan sahaja menggamit perhatian nelayan dan suri rumah, malah ia turut menarik peniaga tempatan, pengusaha makanan tradisional industri kecil sederhana (IKS) di sini.
Dalam tempoh ini, perairan Miri dari Pantai Lutong hingga ke Pantai Bakam menyaksikan lambakan bubuk.
Bubuk yang segar itu dijual serendah RM2 sekilogram di beberapa lokasi tumpuan, seperti Kampung Wireless, Batu 1 Kuala Baram dan di Pasar Ikan.
Ia secara tidak langsung telah menjadikan kawasan-kawasn tersebut meriah dan sibuk seawal 7.00 pagi, dengan nelayan mula turun ke laut untuk memukat hasil laut yang lumayan ini.
Para nelayan mengambil peluang keemasan tersebut untuk meningkatkan hasil tangkapan harian manakala para peraih dan suri rumah pula giat mengumpul bubuk untuk diproses menjadi produk makanan tradisional seperti belacan dan cencaluk.
Proses tersebut turut menyumbang kepada ekonomi setempat dan menambah pendapatan harian mereka.
Menurut seorang peniaga makanan laut dan pengusaha belacan tempatan, Noraidayah Aripin, musim bubuk menjadi masa paling penting untuk membuat stok belacan tahunan bagi kegunaan kedainya.
“Setiap tahun, saya akan menghasilkan sekitar 50 hingga 60 kilogram belacan untuk digunakan di restoran saya.
“Ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah menjamin kualiti dan rasa belacan yang menepati cita rasa pelanggan.
“Untuk membuat 50 kilogram belacan, saya memerlukan kira-kira 200 kilogram bubuk segar.
“Belacan ini saya simpan dalam peti sejuk beku besar supaya tahan hingga enam bulan,” katanya di sini.
Bagi pengusaha cencaluk Rohayu Basuni pula, musim bubuk merupakan detik penting dalam memenuhi permintaan pelanggan tetap.

Katanya, hasil cencaluk dan belacan yang diusahakannya menerima permintaan bukan sahaja dari Miri, malah turut ditempah oleh pelanggan dari Kuching, Sabah dan juga Semenanjung Malaysia.
“Alhamdulillah, ramai pelanggan saya yang dari luar Sarawak menempah cencaluk untuk dibawa pulang ke kampung halaman mereka.
“Ini membuktikan makanan tradisional Sarawak seperti belacan dan cencaluk masih mendapat tempat di hati rakyat Malaysia,” katanya dengan bangga.
Selain itu, lambakan bubuk juga telah membuka peluang kepada lebih ramai pengusaha makanan kecil-kecilan dan penjaja untuk menambah pendapatan, terutama bagi golongan suri rumah yang memproses bubuk menjadi produk makanan kering atau siap makan seperti bubuk goreng, sambal bubuk dan pes masakan.
Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri, Hafidz Rohani menyarankan pihak berkuasa tempatan dan jabatan perikanan untuk terus memantau dan menyokong aktiviti komuniti nelayan dan pengusaha mikro.
“Ini termasuk memberikan latihan, fasiliti dan pasaran bagi memastikan kesinambungan industri makanan tradisional terus berkembang dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, fenomena alam ini bukan sahaja membawa nikmat kepada masyarakat tempatan, malah menjadi bukti bahawa sumber laut di Miri mampu menjadi penyumbang ekonomi yang signifikan jika dimanfaatkan secara bijak dan berdaya saing.
Oleh Liong Chai Ling