FDA AS luluskan ujian dinamakan ‘Shield’ bagi saringan kanser kolon

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

NEW YORK: Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA), semalam meluluskan ujian darah baharu untuk mengesan kanser kolon, lapor Agensi Berita Xinhua.

Syarikat bioteknologi yang berpangkalan di California, Guardant Health memaklumkan bahawa ujian yang dinamakan ‘Shield’ diluluskan untuk saringan dalam kalangan dewasa berumur 45 tahun ke atas yang berisiko menghidap kanser kolorektum.

Syarikat itu merancang untuk melancarkan produk ini dalam masa terdekat.

Kajian yang diterbitkan dalam The New England Journal of Medicine menunjukkan bahawa Shield berkesan 83 peratus dalam mengesan kanser kolorektum.

Pakar juga menegaskan bahawa ujian baharu ini bukan pengganti kolonoskopi, tetapi menyediakan pendekatan saringan yang bukan invasif.

“Kolonoskopi masih dianggap sebagai piawaian emas untuk saringan, terutamanya bagi pertumbuhan prakanser,” menurut pakar kesihatan.

Kanser kolorektum adalah penyebab kematian kanser kedua tertinggi di Amerika Syarikat, tetapi kebanyakan kes boleh dicegah dengan peningkatan saringan.

Persatuan Kanser Amerika menganggarkan lebih 150,000 orang di negara ini akan didiagnosis dengan kanser kolorektum pada 2024. – Bernama – Xinhua

BMW bakal kurangkan 8,000 pekerja

BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja dan kebanyakannya di Jerman, sebagai sebahagian daripada program pengurangan kos