
MIRI: Fasa kedua Rancangan Tebatan Banjir Miri yang bernilai RM50 juta dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 penduduk yang menetap di kawasan rendah dan sering terjejas akibat banjir di daerah ini.
Menurut Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, projek berkenaan dijangka ditender pada akhir tahun ini, selepas pihak perunding menyerahkan reka bentuk, laporan serta cadangan tapak untuk kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
“Projek tersebut meliputi kawasan Taman Tunku, Pujut Tanjung Batu, Sungai Dalam, Taman Lopeng Baru, Padang Kerbau, Riam dan sekitarnya.
“Kawasan seperti Taman Lopeng Baru, Padang Kerbau dan Jalan ByPass Riam sering dilanda banjir. Saya telah arahkan supaya kerja dimulakan di kawasan paling teruk terjejas terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi taklimat projek di Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Miri, semalam.
Projek meliputi kawasan seluas sehingga 67 kilometer persegi itu dijangka mengambil masa 24 bulan atau dua tahun untuk disiapkan.
Oleh Liong Chai Ling