KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada penyanyi dan komposer tersohor Faizal Tahir atas penghasilan lagu “Aku Berjanji” yang dipilih sebagai lagu tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fahmi berkata lagu berkenaan dipersembahkan buat julung kalinya pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 yang berlangsung di Ipoh, hari ini.
“Buat pertama kali tadi, lagu tema “Aku Berjanji” ciptaan dan nyanyian Faizal Tahir dipersembahkan. Tahniah Faizal atas karya yang membawa mesej perpaduan, kebersamaan dan semangat cintakan negara,” katanya.
Fahmi berkata kemeriahan sambutan HKHM mula dirasai selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan pelancaran sambutan berkenaan.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh megah dan bangga, selain memastikan bendera yang dipasang berada dalam keadaan sempurna serta dikibarkan mengikut tatacara yang betul.
Pada masa yang sama, Fahmi mengingatkan pengguna media sosial supaya berhati-hati apabila menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan imej Jalur Gemilang bagi mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh menjejaskan maruah lambang kebanggaan negara. – Bernama





