
LIMBANG: Kemasukan pelawat dari Brunei, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah ke bandar ini merancakkan pelbagai sektor ekonomi serta mengembangkan perniagaan tempatan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata perkembangan positif itu turut menarik minat syarikat besar untuk membuka cawangan di daerah ini.
“Penganjuran Expo Viral Limbang 2025, yang menampilkan peniaga kecil dan sederhana, pengeluar produk viral serta usahawan makanan dan barangan, menarik pelawat bukan sahaja dari Brunei, malah Labuan dan Sabah,” katanya ketika merasmikan ekspo itu di Dewan Suarah, hari ini
“Keadaan ini juga menyumbang kepada perkembangan sektor perniagaan sehingga banyak syarikat besar membuka cawangan di Limbang,” tambahnya.

Dr Abdul Rahman berkata ekspo yang bermula semalam itu mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan 120 usahawan dan peniaga dari Sarawak, Sabah, Semenanjung dan Brunei.
Program anjuran Juwita Holdings Sdn Bhd dan Juwita Healthy itu menyasarkan kira-kira 25,000 pengunjung, dengan nilai sasaran jualan mencecah RM1 juta.
Ekspo terbesar yang julung kali diadakan di utara Sarawak itu berjaya menarik tumpuan pengunjung dari seluruh Malaysia dan Brunei.
Oleh Adeng Edrus