30 kanak-kanak Tabika Kemas lawat BBP Bintangor

Facebook
WhatsApp
BEGINI CARANYA… Anggota bomba menunjukkan mendemonstrasi cara ‘berhenti, rebah dan guling’ kepada kanak-kanak Tabika. Foto BBP Bintangor

BINTANGOR: Seramai 30 kanak-kanak tabika dari tiga Tabika Kemas menyertai lawatan sambil belajar ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor pada semalam.

Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata semasa lawatan tersebut, program kesedaran awam telah dijalankan oleh pihaknya.

“Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai keselamatan kebakaran melalui pendekatan ceramah, demonstrasi dan pameran yang mudah difahami.

UNTUK ALBUM… Pasukan bomba bergambar bersama kanak-kanak Tabika dan guru pengiring. Foto BBP Bintangor

“Lawatan sambil belajar ini melibatkan kanak-kanak dari Tabika Kemas PPK Jalan Chung San, Tabika Kemas Kampung Selemas dan Tabika Kemas Gemuan B dengan jumlah keseluruhan peserta seramai 36 orang termasuk enam guru pengiring,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, antara pengisian aktiviti yang dijalankan adalah ceramah kesedaran keselamatan kebakaran, pengenalan dan fungsi alat pemadam api, demonstrasi ‘berhenti, rebah dan guling’ serta tatacara pengendalian kebakaran dapur memasak.

KEKILI HOS.. Kanak-kanak Tabika belajar mengendalikan kekili hos. Foto BBP Bintangor

“Kanak-kanak turut didedahkan dengan demonstrasi memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api dan kekili hos, selain pameran peralatan kebombaan serta peluang menaiki jentera bomba.

“Program ini dikendalikan oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Haron Jenai bersama sepasukan anggota bomba dan sepanjang pelaksanaannya, semua aktiviti berjalan dengan lancar serta jayanya.

“Pihak kami berharap program seperti ini dapat meningkatkan kesedaran awal mengenai keselamatan kebakaran dan membentuk sikap peka dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Oleh Earl Anek