LEIPZIG, Jerman: Luka Modric berkata gol penyamaan saat akhir Itali adalah cara “kejam” buat Croatia yang menolak mereka menghampiri penyingkiran pada Euro 2024.
Pemain berusia 38 tahun itu menjadi penjaring gol paling tua dalam sejarah Kejohanan Eropah apabila dia meledak pada minit ke-55 bagi meletakkan Croatia di landasan ke peringkat kalah mati buat kali kelima berturut-turut dalam kejohanan utama.
Namun sepakan lencong Mattia Zaccagni pada minit kelapan dan terakhir masa tambahan memberikan Itali keputusan seri 1-1 yang membawa juara bertahan itu ke kelompok 16 terakhir.
“Kami terus bertarung hingga penamat, malangnya bola sepak tiada belas kasihan terhadap kami malam ini.
“Ia kejam… tapi itulah sebahagian bola sepak,” kata Modric.
Croatia menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan B di belakang Itali dan Sepanyol.
Mereka akan disingkirkan daripada kejohanan jika England tidak menewaskan Slovenia 3-0 atau empat gol atau Denmark gagal menewaskan Serbia.
Pasukan yang layak ke separuh akhir Piala Dunia 2022 beraksi lebih baik untuk tempoh yang lama berdepan Itali di Leipzig dan terlepas peluang untuk meledak gol kedua pada penghujung aksi.
“Memang sukar jika anda kalah begini, mencari perkataan untuk menggambarkan apa yang anda rasa.
“Mungkin ia tidak adil kerana kami memang bertarung buat Croatia sejak wisel permulaan hingga penghujung. Kami sepatutnya bangga dengan cara kami mewakili negara kami malam ini,” kata Modric yang jaringannya hadir kurang daripada 60 saat selepas penaltinya diselamatkan Gianluigi Donnarumma.
Modric bermain dalam kejohanan Euro kelimanya selain tampil dalam empat Piala Dunia.
Namun dia berkata tidak akan bersara lagi daripada bola sepak dan akan terus beraksi pada tahap tertinggi selepas menang gelaran keenam Liga Juara-Juara bersama Real Madrid awal bulan ini.
“Saya mahu bermain selamanya tetapi mungkin ada masanya saya perlu menggantung but.
“Saya akan terus bermain, saya tidak tahu berapa lama lagi,” kata Modric. – AFP