Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak Datuk Snowdan Lawan mensasarkan satu pingat emas daripada kontijen esport Sarawak dalam Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Walkabout Santai Esport @ SESA (Sukan Elektronik Negeri Sarawak) Mini Esport Hub di sini, semalam.
“Memandangkan ini kali pertama diadakan di peringkat SUKMA, jadi masa ini kita cuma sasarkan satu pingat emas melalui Evolution Soccer.
“Kita turut meletakkan harapan tinggi kepada dua lagi kategori iaitu Dota 2 dan Mobile Legend untuk membawa pulang pingat bagi kategori masing-masing,” katanya.
Menurut Snowdan, kontinjen esport Sarawak seramai 18 orang itu sedang giat menjalani latihan di Mini Esport Hub di D Arena Kota Samarahan ini sebagai persediaan rapi menghadapi pertandingan.
Mengulas tentang aksi persahabatan bersama kontinjen lain, beliau berkata kontinjen Sarawak belum lagi merancang untuk mengadakannya dalam masa terdekat ini.
“Kita tiada masalah untuk buat perlawanan persahabatan, tapi kita akan simpan sedikit strategi, kita tak nak mereka tahu senjata rahsia kita,” ujarnya lagi.
Snowdan yang baru berkesempatan mengadakan lawatannya buat kali pertama di D-Virtual Park melahirkan rasa kagum dengan segala fasiliti yang terdapat di sini dan bangga kerana dipuji oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia baru-baru ini.
Turut hadir Pengurus Bahagian Sukan, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Ahmad Rodzli Hashim, Presiden Sarawak E-Sport Association (SESA) Afiq Fadhli Narawi dan Exco Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Malcolm Layang Jimbun.
Oleh Akmal Adib Yusup