PARIS: Negara Eropah kembali mengetatkan larangan pada Jumaat selepas kes COVID-19 kembali meningkat, antaranya menguatkuasakan pemakaian pelitup muka di seluruh Paris dan Hungary menutup kembali sempadan.
Canselor Jerman, Angela Markel memberi amaran, krisis itu akan ‘lebih sukar’ pada musim luruh dan musim sejuk.
Ia berbeza dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang melakukan langkah lebih optimistik, meskipun kes jangkitan di republik itu meningkat kepada 180,000 dengan berikrar untuk ‘menghancurkan’ virus itu menggunakan vaksin menjelang hujung tahun ini.
Sehingga kini, dunia merekodkan 24.5 juta kes jangkitan sejak virus itu muncul di China, sembilan bulan lalu, dengan lebih 832,000 kematian.
Dunia kini bergantung harap dengan pemakaian pelitup muka secara ketat untuk memulihkan ekonomi yang menjunam, malah pihak berkuasa Perancis berkata, mereka tidak lagi boleh mengeluarkan arahan untuk rakyat berkurung di rumah.
Di Paris, pemakaian pelitup muka menjadi wajib dalam kenderaan awam dan kawasan yang sesak dan kini ia menjadi keperluan di seluruh bandar.
“Berlaku peningkatan epidemik di peringkat bawah dan sudah tiba masanya untuk campur tangan,” kata Perdana Menteri, Jean Castex, apabila data rasmi menunjukkan sebanyak 6,111 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam di seluruh negara.
Ia adalah rekod tertinggi selepas negara itu melonggarkan penguatkuasaan, Mei lalu.
Menurut pihak berkuasa Hungary, warga asing akan dilarang memasuki negara itu bermula 1 September, manakala rakyat negara itu memerlukan laporan negatif dua ujian untuk mengelak dikenakan kuarantin selama 14 hari. Greece pula melanjutkan perintah berkurung di kem migran sekurang-kurangnya sehingga 15 September selepas penularan wabak itu di lima kem di kepulauan Aegean sangat membimbangkan. – AFP