Jika lelaki lain yang berjaya di dalam hidup biasa berbelanja untuk kereta-kereta bergaya, gajet-gajet serta pelbagai barangan mewah, berbeza pula halnya dengan Eric Tay Tze Kok.
Berusia 43 tahun, Eric sebaliknya lebih memfokus kepada usaha membantu golongan kurang bernasib baik menerusi ‘Team Dynamic’ yang semakin dikenali dan memberi impak positif kepada kehidupan ramai orang sejak ditubuhkan beberapa tahun lalu.
Bagi yang mengenali Tay secara peribadi, termasuk rakan seperjuangannya di dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), memang terkejut melihat usaha gigihnya di dalam kerja amal ini.
Dari segi latar belakang pendidikannya, bekas pelajar St. Joe ini menghadiri Applecross Senior High di Perth dalam tahun 1996 dan menerima Sarjana Sains Gunaan (Sains Senibina) dari Curtin University of Technology di Perth, Australia.
Kegigihan dan semangat kompetitifnya ini memang sudah ketara sejak zaman universitinya apabila bekerja separuh masa sebagai penghantar piza di Domino’s Pizza di Melville dan kemudian bekerja keras sehingga menjadi Pengurus.
Berasal dari keluarga berada dan mendapat pendidikan di luar negara, Tay memang berpeluang untuk tinggal di Australia.
Namun beliau lebih berminat untuk kembali dan membantu ‘membina’ Sarawak. Dalam tahun 2004. beliau menyertai bahagian eksport di Amalgamated Batteries Manufacturing (Sarawak ABM) dan kemudian berpindah ke bahagian pengeluaran dengan memainkan peranan penting di dalam produk dan perkhidmatan berkualiti, penyelarasan serta persaingan.
Sebelum memegang jawatan sekarang sebagai Pengarah ABM, beliau pernah menjadi Pengurus Perkhidmatan Pelanggan dengan syarikat itu, selain mengetuai pasukan pegawai perkhidmatan pelanggan. Tay menyifatkan tugasan ini yang menimbulkan minatnya untuk berkhidmat kepada orang lain.
“Semasa bersantai dengan kawan-kawan pada satu malam dalam tahun 2005, ketika itu saya berusia 26 tahun,saya dibawa untuk menghadiri satu mesyuarat politik di pejabat SUPP Kuching.
“Ketika itu, seperti anak muda lain, politik tidak memberi makna apa-apa kepada saya. Saya lebih berminat untuk berinteraksi dan berkawan daripada mendengar propaganda politik.
“Malah saya menghantar nama untuk menjadi ahli pun apabila diminta berbuat demikan dan kemudian tidak pedulikannya. Memang ada ketikanya saya pergi ke beberapa majlis tetapi sekali lagi disebabkan oleh kawan-kawan yang terlibat di dalam politik. Saya hadir hanya disebabkan oleh mereka,” katanya.
Dalam tahun 2017, Tay mula melihat senario politik dan mula mengambil berat tentang hala tuju negara. Beliau mula sedar hanya dengan terlibat di dalam politik beliau boleh membantu mengubah keadaan, lantas beliau mula memainkan peranan lebih aktif. Ketika itulah beliau sedar ada banyak masalah yang dihadapi oleh rakyat.
“Ia lebih kepada isu infrastruktur yang menjejaskan segelintir rakyat di kawasan masing-masing. Ia mungkin tidak bermakna apa-apa kepada anda atau saya tetapi kepada mereka, amat penting jika isu-isu ini ditangani secepatnya terutama apabila ia melibatkan perkara seprti kebocoran paip air. Masalah seperti ini perlu diselesaikan kerana akhirnya nanti rakyat akan menuding jari dan menyalahkan kerajaan,” kata beliau.
Pengerusi Cawangan Kuching, Datuk Lily Yong kemudian meminta Tay menubuhkan pasukan yang tidak ada kaitan dengan politik. Tay kemudian mula mencari ahli dan tidak lama kemudian, ‘Team Dynamic’ ditubuhkan. Beliau kemudian mendaftarkan pasukan ini dalam tahun 2019 dan menjadikannya rasmi serta mengetuai jawatankuasa yang rata-ratanya terdiri daripada anak-anak muda dari pelbagai latar belakang.
“Saya tidak menghalang golongan berusia untuk turut serta kerana mereka mempunyai lebih banyak pengalaman. Salah seorang ahli saya, Tony, berusia dalam lingkungan 50-an,” kata beliau.
Pasukan ini akan turun padang untuk menangani pelbagai masalah. Bantuan akan diberikan bagi menyelesaikan sebarang aduan dan bantuan juga akan dihulurkan kepada golongan memerlukan tanpa mengira bangsa atau agama.
Kebanyakan masalah ini adalah tentang lampu jalan, isu perparitan, jalan raya dan golongan miskin yang memerlukan bantuan untuk berdikari.
Oleh Connie chieng