
KABONG: Sebanyak 300 bungkus bubur pedas diagihkan kepada penduduk setempat di Kabong Town Square, di sini petang tadi.
Program yang dianjurkan oleh Harakah Islamiah (Hikmah) Ranting Kabong itu diadakan secara gotong-royong antara penduduk sekali gus mengeratkan silaturahim antara penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata amalan gotong-royong khasnya dalam penyediaan bubur pedas pada Ramadan mampu mengeratkan hubungan antara penduduk di sekitar kampung terlibat.
Katanya, amalan itu yang dijalankan secara turun-temurun setiap bulan puasa harus diteruskan supaya ia berkekalan.



“Budaya ini (gotong-royong) kita amalkan di kampung sejak zaman dahulu dan harus diwariskan kepada generasi pelapis seperti anak cucu agar ia terus berkekalan,” katanya.
Chee Kadir memberitahu, selain meringankan beban golongan kurang bernasib baik dengan menyediakan hidangan itu secara percuma, ia juga dapat meningkatkan kemeriahan Ramadan.
“Pengagihan bubur pedas ini bukan sahaja untuk penyediaan juadah berbuka puasa kepada penduduk kampung, tetapi juga merapatkan hubungan sesama masyarakat sekali gus dapat mengimarahkan Ramadan al-Mubarak,” katanya.
Selain pengagihan bubur pedas kepada penduduk, turut diadakan ialah pengagihan sumbangan bakul makanan kepada 10 golongan asnaf yang terpilih. Sumbangan tersebut adalah inisiatif amal yang dijalankan untuk membantu mereka yang memerlukan.

Pada masa sama, Chee Kadir turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Hikmah Ranting Kabong untuk pelaksanaan program sepanjang 2025.
Turut hadir Datin Meryani Yassin, wakil Hikmah Betong Saiful Guntor, Pengerusi Hikmah Ranting Kabong Borhan Nibong, Penghulu Sani Mohd, Penghulu Rahman @ Dom Kapok, Pengerusi Urus Setia Saudara Kita (USK) Kabong Iskandar Abdullah, Pengerusi Persatuan Pesara Kabong (Peka) Ismail Merikan dan Pengerusi Persatuan Penjaja Kabong Melati Buang.
Oleh Adi Safarman