
PARIS: Gergasi teknologi dalam talian mahukan kaedah pengesahan identiti lebih canggih berbanding penggunaan kata laluan sekarang, yang semakin mudah digodam atau ditembusi.
Cap jari, kaedah log masuk tanpa kata laluan dan pengecaman wajah kini menyisihkan penggunaan kata laluan sebagai kaedah keselamatan komputer tradisional, walaupun ia masih berdepan keraguan orang ramai.
Justeru, dua pegawai kanan Microsoft membayangkan era guna kata laluan bakal berakhir dalam masa terdekat.
Sejak beberapa tahun lalu, Microsoft, firma gergasi teknologi dunia membangunkan alternatif log masuk yang dianggap lebih selamat.
Bermula Mei lalu, syarikat berkenaan menetapkan kaedah itu sebagai pilihan automatik untuk pengguna baharu.
Selain Microsoft, banyak perkhidmatan dalam talian lain seperti ChatGPT milik gergasi kecerdasan buatan (AI) OpenAI, mengkehendaki langkah tambahan.
Antaranya, perlu memasukkan kod berangka yang dihantar ke alamat e-mel pengguna sebelum membenarkan akses kepada data yang berpotensi sensitif.
Pakar keselamatan siber di Eset, Benoit Grunemwald, berkata penggunaan kata laluan selalunya lemah dan orang cenderung menggunakan semula kata laluan sama di pelbagai perkhidmatan dalam talian.
Beliau mendedahkan penyerang siber berkemahiran tinggi boleh memecahkan kata laluan yang memiliki lapan aksara atau kurang hanya dalam masa beberapa minit, malah mungkin memerlukan beberapa saat sahaja.
“Kata laluan juga sering menjadi sasaran utama dalam kebocoran data di platform dalam talian, terutama apabila ia disimpan secara tidak betul oleh pihak yang patut melindunginya,” katanya.
Satu pangkalan data besar menyimpan sekitar 16 bilion maklumat log masuk diperoleh daripada fail digodam yang ditemui Jun lalu oleh Cybernews, sebuah penyelidik media siber.
Tekanan terhadap penggunaan kata laluan mendorong firma gergasi teknologi berlumba-lumba mencari alternatif lebih selamat.
Untuk itu, sebuah ‘pakatan’ dikenali ‘Fast Identity Online Alliance (FIDO)’ menghimpunkan nama besar termasuk Google, Microsoft, Apple, Amazon dan TikTok untuk bekerjasama mencipta serta mempopularkan kaedah log masuk tanpa kata laluan.
Pakatan itu turut mempromosikan penggunaan kaedah log masuk tanpa kata laluan. – AFP