PENYAKIT kusta merupakan antara penyakit tertua di dunia. Sejarah membuktikan bahawa penyakit ini pernah dicatat dalam rekod perubatan dalam Tamadun India pada sekitar tahun 600 sebelum masihi.
Rekod perubatan di China juga pernah mencatatkan penyakit ini pada sekitar tahun 400 sebelum masihi. Tamadun Yunani juga pernah mencatat penyakit mirip kusta ini pada sekitar abad ke-2 dan ke-3 masihi.
Penyakit ini juga merupakan penyakit berbahaya. Ini kerana penyakit ini boleh berjangkit. Pada 1873, seorang pakar perubatan bernama G. Armauer Hansen dari Norway menjumpai penyebab kepada penyakit ini, iaitu leprosy bacillus atau nama saintifiknya Mycobacterium leprae.
PENGASINGAN
Penyakit kusta ini telah lama wujud sebelum kedatangan James Brooke ke Sarawak. Hugh Low, dalam bukunya bertajuk Sarawak: Its Inhabitants and Productions, pernah mencatat tentang penyakit ini di Sarawak.
Dalam catatan tersebut, beliau menyatakan bahawa terdapat dua orang pesakit kusta yang diasingkan daripada masyarakat.
Mereka ditempatkan dalam sebuah pondok kecil. Catatan beliau ini menunjukkan bahawa penyakit ini bukan lagi asing di Sarawak.
Namun demikian, tidak banyak rekod selepas itu tentang penyakit kusta. Hanya ada catatan dari Treasury Estimates pada 1901 yang menyatakan perbelanjaan pesakit kusta sebanyak 244.35 untuk diet pemakanan dan $31.50 untuk perbelanjaan lain.
Kem pesakit kusta hanyalah diwujudkan pada 1901 di Batu 5 Rock Road di bawah kawalan dan penyeliaan polis. Selepas itu, di bawah Order No. 111, 1907, kawalan dan penyeliaan kem tersebut diserahkan kepada Jabatan Perubatan.
BILANGAN
Catatan tentang jumlah pesakit kusta di kem tersebut agak stabil. Dari 1909 hingga 1912, pesakit kusta berjumlah 32, 27, dan 33 untuk 1909, 1910, 1911, dan 1912.
Ada pesakit ini telah ditangkap oleh pihak polis kerana cuba mengelak daripada ditahan dalam kem tersebut. Malahan pihak kerajaan amat mengambil berat tentang penyakit ini, dan ini menyebabkan penangkapan ini dibuat.
Dalam kem tersebut juga terdapat kes-kes melarikan diri yang sering berlaku setiap tahun kecuali pada 1912. Pesakit yang meninggal dunia juga berlaku. Antara 1909 hingga 1912, sebanyak 14 orang pesakit telah meninggal dunia.
DANA PERINGATAN
Apabila Raja Charles Brooke meninggal dunia pada 1917, terdapat usaha untuk mengenang jasa raja tersebut dengan mewujudkan sebuah dana dikenali sebagai Charles Brooke Memorial Fund.
Pengwujudan dana ini adalah untuk mewujudkan Rajah Charles Brooke Memorial Institution. Institusi ini akan merangkumi usaha pembinaan sebuah kem pesakit kusta dan beberapa institusi lain.
Usaha mengumpul dana untuk mewujudkan Rajah Charles Brooke Memorial Institution ini bermula seawal Januari 1918.
Tempoh pengutipan dana ini berlangsung kira-kira enam tahun dan berakhir pada November 1924. Sebanyak $53,204.94 daripada $75,836.72 jumlah kutipan dana itu telah diperuntukkan untuk membina sebuah tempat untuk kem pesakit kusta.
TAPAK BAHARU
Beberapa tempat telah dikenal pasti untuk mendirikan kem pesakit kusta. Cadangan awal untuk membinannya jauh dari bandar Kuching iaitu di Pulau Satang. Usaha memulakan pembinaan kem tersebut dimulakan pada awal 1923 oleh Jabatan Kerja Awam.
Pada peringkat awal pembinaan kem tersebut menghadapi masalah kerana merebaknya penyakit malaria. Namun demikian, usaha bersungguh-sungguh pihak kerajaan akhirnya menjadikan kem tersebut berjaya disiapkan pada 1924.
Pemilihan Pulau Satang untuk membina kem pesakit kusta ini adalah kerana pusat tersebut terpencil. Selain itu pulau tersebut juga memberi satu suasana yang baik untuk pesakit kusta.
Pulau itu membolehkan pesakit mendapatkan ketenangan dengan keindahan pulau yang membolehkan mereka melakukan pelbagai aktiviti seperti memancing dan mandi laut.
Tambahan pula, Pulau Satang memiliki beberapa lagi ciri alam semulajadi yang menambah suasana selesa dan tenang pada pesakit seperti pokok kelapa, telur penyu dan pokok limau. Dalam usaha membolehkan pesakit memiliki wang poket, ladang khinzir telah dibuka. Usaha juga dilakukan untuk membuka ladang ternak lembu tenusu.
CABARAN
Cabaran besar bagi pulau tersebut adalah munculnya musim landas. Landas yang berupa angin kuat beserta hujan lebat itu menyebabkan kesukaran kepada usaha pengekalan peranan pulau tersebut untuk bertahan sebagai kem pesakit kusta.
Ujian besar berlaku pada 1924 apabila pulau tersebut terputus hubungan dengan tanah besar akibat landas. Hal ini membawa masalah kekurangan bekalan makanan kepada kem tersebut.
Taraf kesihatan pesakit juga mula merosot. Akhirnya dicadangkan untuk menukar kawasan kem pesakit kusta ke kawasan tanah besar.
Satu kawasan yang tidak jauh dari bandar Kuching telah dipilih sebagai kem pesakit kusta iaitu di Batu 13 Jalan Penrissen.
Kos pembinaan kem kusta baharu ini bernilai $20,096.77. Pesakit kusta di Pulau Satang secara beransur-ansur dipindahkan ke kem baharu di Batu 13 Jalan Penrissen.
Kem ini ditubuhkan pada 1925. Kem pesakit kusta ini kemudiannya berkembang dengan baik dan ramai yang mengidap penyakit kusta tidak lagi menyembunyikan diri tetapi secara sukarela mendaftar di kem berkenaan.
Apa yang menariknya, kem ini kemudiannya menjadi kem untuk bukan sahaja pesakit dari Sarawak tetapi juga pesakit kusta dari Brunei dan Sabah yang datang untuk menjalani rawatan perubatan.
Dalam laporan perubatan pada 1929, menyatakan bahawa bilangan pesakit kusta ditempatkan di kem tersebut meningkat sebanyak 53 orang kepada 384.
Hal ini menunjukkan kepercayaan masyarakat awam tentang peranan kem ini untuk memulih pesakit. Kadar melarikan diri juga tidak ramai pada tahun tersebut.
Seramai dua orang pesakit melarikan diri tetapi berjaya dikesan dan ditahan semula. Penubuhan kem pesakit kusta ini merupakan salah satu kemajuan dalam langkah mengawal penyakit kusta pada zaman pemerintahan Brooke.
Usaha ini berjaya mengurangkan masalah bilangan pesakit kusta, dan ramai juga yang sembuh daripada rawatan yang dilakukan dalam kem ini.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).