Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • EPCB tingkat keyakinan wanita kembali bekerja, perkukuh penyertaan tenaga kerja
  • NASIONAL

EPCB tingkat keyakinan wanita kembali bekerja, perkukuh penyertaan tenaga kerja

Utusan Sarawak 3 hours ago
EPCB tingkat keyakinan wanita kembali bekerja, perkukuh penyertaan tenaga kerja. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) bukan sahaja mampu memperkukuh penyertaan wanita dalam tenaga kerja, malah dilihat sebagai wadah sokongan holistik dalam menjamin kesejahteraan ibu berkerjaya yang menempuh fasa transisi kembali ke alam pekerjaan.

Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz berkata, penyediaan bantuan 80 peratus daripada gaji bagi tempoh lanjutan cuti bersalin sehingga 30 hari, menjadi talian hayat meringankan beban kewangan ditanggung keluarga sekali gus memberi ruang pemulihan fizikal dan emosi secukupnya.

“Inisiatif itu memberikan keyakinan kepada wanita untuk terus menyumbang kepada produktiviti negara tanpa perlu mengabaikan tanggungjawab keluarga, khususnya dalam mendepani tekanan ekonomi yang semakin mencabar.

“Secara umum, kami sangat positif dan menyambut baik inisiatif ini. Ia dilihat sebagai langkah progresif tepat pada masanya, walaupun kami berharap pelaksanaannya lebih inklusif dan disertai dengan sokongan yang lebih menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Berhubung impak jangka panjang, Norhimah berkata, langkah itu berpotensi mengurangkan statistik wanita yang terpaksa meninggalkan pasaran buruh selepas bersalin, yang boleh menjadi pemangkin kepada pengekalan bakat wanita dalam tenaga kerja negara.

Bagaimanapun, beliau berpandangan impak maksimum hanya akan tercapai sekiranya ia diiringi dengan dasar sokongan lain yang lebih komprehensif.

“Berdasarkan pengalaman kami berinteraksi dengan golongan ibu, cabaran utama yang masih dihadapi selepas bersalin ialah kos penjagaan anak yang tinggi dan kekurangan pilihan taska yang berkualiti selain beban kewangan jangka panjang,” katanya.

Justeru, Norhimah mencadangkan agar kerajaan juga mempertimbangkan penambahbaikan lebih menyeluruh bagi mewujudkan ekosistem kerja mesra keluarga termasuk cuti paterniti, peluasan subsidi taska dan kemudahan penyusuan di tempat kerja bagi menyokong transisi ibu kembali bertugas.

Beliau berkata, perlindungan lebih inklusif bagi pekerja sektor gig dan kontrak juga tidak seharusnya dipinggirkan bagi memastikan tiada golongan wanita tercicir daripada mendapat perlindungan sosial.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Rojanah Kahar berkata EPCB berpotensi memberi motivasi kepada generasi baharu untuk merancang keluarga dengan lebih yakin susulan wujud jaminan keselamatan pekerjaan serta perlindungan sosial yang lebih jelas.

Beliau berkata, aspek jaminan pekerjaan dan sokongan kewangan memainkan peranan penting untuk mengurangkan kebimbangan dalam kalangan pasangan muda, khususnya mereka yang berhadapan tekanan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi semasa.

“Apabila pekerja, khususnya wanita merasakan mereka dilindungi dari segi sosial dan mempunyai jaminan pekerjaan yang stabil, ia secara tidak langsung boleh meningkatkan keyakinan untuk membina keluarga serta mempunyai anak,” katanya.

Rojanah berkata, keadaan itu juga mampu mengurangkan kecenderungan sebahagian golongan muda untuk memilih gaya hidup tanpa anak yang semakin mendapat perhatian dalam trend demografi semasa.

Beliau berkata, inisiatif itu juga selari dan menyokong aspirasi Dasar Keluarga Negara serta Dasar Wanita Negara yang memberi penekanan kepada keseimbangan antara pembangunan kerjaya dan institusi kekeluargaan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 berkata kerajaan akan memperkenalkan EPCB sebagai langkah progresif menyokong penyertaan wanita dalam tenaga buruh yang kini menunjukkan sedikit penurunan, antaranya disebabkan komitmen selepas bersalin. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Belalang kerek bukan sekadar hobi, main peranan dalam ekosistem
Next: Perluasan perlindungan Perkeso langkah progresif lindungi pekerja rentas sempadan – Pakar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.