Enzo Fernandez sertai senarai pemain dibuang padang dalam final Piala Dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PARIS, Perancis: Pemain tengah Argentina, Enzo Fernandez, mencatat sejarah yang tidak diingini apabila menjadi pemain terbaru dibuang padang dalam perlawanan akhir Piala Dunia selepas menerima kad merah pada final edisi 2026, awal pagi ini (waktu Malaysia).

Kad merah yang diterimanya turut menyaksikan Argentina muncul negara dengan jumlah pemain paling banyak dibuang padang dalam sejarah perlawanan akhir Piala Dunia.

Berikut ialah lima pemain lain yang pernah menerima nasib sama menurut AFP Sport:

1990 – Pedro Monzon (Argentina)

Monzon baru berada di atas padang selama 20 minit selepas menggantikan pertahanan berpengalaman, Oscar Ruggeri, sebelum dilayangkan kad merah susulan terjahan tinggi ke atas penyerang Jerman Barat, Jurgen Klinsmann.

Walaupun Klinsmann terkenal dengan aksi menjatuhkan badan secara dramatik, ia tidak menghalang Monzon daripada menjadi pemain pertama dalam sejarah yang dibuang padang pada final Piala Dunia.

1990 – Gustavo Dezotti (Argentina)

Belum sempat Monzon meninggalkan stadium selepas dibuang padang, rakan sepasukannya, Gustavo Dezotti, pula diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua akibat mengasari Jurgen Kohler.

1998 – Marcel Desailly (Perancis)

Dalam kegembiraan Perancis menjulang Piala Dunia buat kali pertama hasil dua gol Zinedine Zidane, kad merah yang diterima Marcel Desailly sering dilupakan.

Beliau dilayangkan kad kuning pertama pada minit ke-49 kerana membantah keputusan pengadil selepas didakwa mengasari Cafu.

Desailly kemudian menerima kad kuning kedua akibat mengasari pemain sama, menyebabkan Perancis terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika mempertahankan kelebihan 2-0 lebih 20 minit.

Beliau kemudian dipanggil menjalani ujian doping, namun enggan meninggalkan perlawanan.

“Saya berkata, ‘Tidak, saya tidak mahu dikurung di dalam bilik.’

“Saya tidak sanggup berada di dalam bilik tanpa televisyen, tidak mengetahui apa yang berlaku, sambil memikirkan seluruh negara akan menyalahkan saya jika kami kalah.

“Saya benar-benar takut. Saya marah dan membuat sedikit kekecohan.

“Saya akhirnya keluar dan menonton perlawanan. Tekanan itu amat besar, namun akhirnya kami menang 3-0,” katanya.

2006 – Zinedine Zidane (Perancis)

Kad merah Zidane kekal antara insiden paling terkenal dalam sejarah bola sepak dunia kerana membabitkan legenda Perancis itu pada perlawanan terakhir kariernya.

Ketika Perancis dan Itali terikat 1-1 dalam masa tambahan, Zidane bertindak menanduk dada Marco Materazzi selepas pertahanan Itali itu dipercayai mengeluarkan kata-kata menghina mengenai adik perempuannya.

Pengadil Horacio Elizondo dan penjaga garisan tidak menyaksikan insiden itu, namun pegawai keempat memaklumkannya sebelum Zidane dilayangkan kad merah.

Elizondo kemudian mendedahkan beliau terkejut apabila Zidane menerima keputusan itu tanpa bantahan.

“Ketika saya mahu mencatat namanya, dia menyentuh bahu saya dan berkata, ‘Bertenang, kad merah itu memang betul, tetapi tidakkah anda dengar atau lihat apa yang berlaku sebelum itu?’

“Saya bertanya, ‘Apa yang berlaku?’ Namun dia hanya berpaling dan berjalan meninggalkan saya,” kata Elizondo kepada Gazzetta dello Sport.

Zidane meninggalkan padang sambil melalui trofi Piala Dunia yang pernah dijulangnya pada 1998, namun kali ini Perancis tewas menerusi penentuan sepakan penalti.

Bekas Presiden Perancis, Jacques Chirac, antara tokoh yang mempertahankan Zidane.

“Anda seorang yang berhati mulia, berprinsip dan berkeyakinan. Itulah sebabnya seluruh Perancis mengagumi dan menyayangi anda,” katanya.

2010 – John Heitinga (Belanda)

Final di Johannesburg menyaksikan Belanda menggunakan corak permainan fizikal bagi mengganggu rentak Sepanyol, hampir sama seperti pendekatan Argentina pada final 2026.

Pengadil England, Howard Webb, mengeluarkan 14 kad kuning sepanjang perlawanan.

Heitinga dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua. Pemain yang dikasarinya, Andres Iniesta, kemudian menjaringkan gol kemenangan beberapa minit kemudian untuk menghadiahkan kejuaraan dunia kepada Sepanyol. – AFP