
LOS ANGELES: England berpeluang menjadi antara kuasa besar bola sepak yang terawal mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia apabila berdepan Ghana pada 4.00 pagi esok (waktu Malaysia), manakala Portugal pula berusaha menghidupkan semula kempen mereka selepas permulaan hambar.
Sehari selepas Argentina dan Perancis melangkah ke pusingan kalah mati, England hanya memerlukan kemenangan dalam aksi Kumpulan L untuk memastikan tempat ke fasa seterusnya.
Skuad The Three Lions memulakan kempen dengan kemenangan bergaya 4-2 ke atas Croatia minggu lalu, sekali gus menyuntik keyakinan baharu dalam usaha memburu trofi utama pertama dalam tempoh 60 tahun.
Kapten Harry Kane menjaringkan dua gol manakala Jude Bellingham turut menemui sasaran, dengan pemain tengah Declan Rice percaya England memiliki kemampuan untuk menewaskan mana-mana pasukan.
“Kami tahu tahap yang diperlukan dan aksi separuh masa kedua menentang Croatia menjadi penanda aras kami.
“Jika kami dapat bermain pada tahap itu sejak minit pertama, dengan pemain yang ada, kami mampu menewaskan sesiapa sahaja,” kata Rice.
Pengendali England, Thomas Tuchel pula berkata skuadnya sudah bersedia menghadapi tekanan kejohanan terbesar dunia itu.
“Terdapat emosi, ketegangan dan tekanan. Saya harap kami mampu menghadapinya dan menukarkannya kepada sesuatu yang positif.
“Kami mempunyai ramai pemain berpengalaman dan pemenang yang tahu bagaimana untuk berdepan tekanan,” katanya.
Namun England perlu berhati-hati dengan ancaman pemain Ghana, Antoine Semenyo, yang menjadi tonggak serangan Black Stars.
Ghana yang menewaskan Panama 1-0 dalam aksi pembukaan juga boleh mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati sekiranya menewaskan England di Foxborough.
Dalam satu lagi aksi kumpulan, naib juara 2018, Croatia berisiko tersingkir jika tewas kepada Panama dan Ghana sekurang-kurangnya mengelak kekalahan.
Kapten Croatia, Luka Modric dijangka membuat penampilan antarabangsa ke-200, sekali gus meletakkannya dalam kelompok elit pemain yang paling banyak beraksi di pentas antarabangsa.
Cristiano Ronaldo mendahului senarai dengan 229 penampilan, diikuti Lionel Messi (201) dan Bader Al-Mutawa dari Kuwait (202).

Portugal buru reaksi positif
Sementara itu, Portugal berusaha melupakan minggu pertama yang mengecewakan apabila menentang Uzbekistan di Houston.
Portugal hadir sebagai antara pasukan pilihan dengan barisan pemain bertaraf bintang yang diketuai Cristiano Ronaldo.
Bagaimanapun, aksi hambar Ronaldo ketika seri 1-1 menentang Republik Demokratik Congo mencetuskan semula persoalan mengenai kedudukannya dalam kesebelasan utama.
Jurulatih Portugal, Roberto Martinez terus mempertahankan pemain berusia 41 tahun itu walaupun Ronaldo gagal menjaringkan gol dalam 10 aksi terakhir kejohanan utama.
“Dia contoh yang baik kepada kami semua.
“Dia sentiasa mahu memperbaiki diri dan terus menyumbang kepada pasukan. Dia adalah teladan kepada skuad ini,” kata Martinez.
Namun Martinez enggan mengesahkan sama ada Ronaldo akan diturunkan menentang Uzbekistan.
Beliau percaya rasa kecewa selepas keputusan seri dengan DR Congo akan menjadi pembakar semangat buat Portugal.
“Perasaan kecewa yang kami alami selepas perlawanan itu mungkin menjadi titik permulaan terbaik untuk kami membuat persiapan menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya. – AFP