SIBU: Sebanyak enam unit lot kedai di Jalan Khoo Peng Long di sini terbakar dalam satu kejadian petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.29 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral ke lokasi.
Katanya, operasi turut dibantu anggota dari BBP Sungai Merah dan BBP Sibu Jaya.

“Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan enam unit lot kedai yang dibahagikan kepada 28 lot kecil.
“Struktur bangunan adalah jenis kekal dua tingkat dengan keluasan keseluruhan dianggarkan 300 kaki x 50 kaki persegi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan teknik defensif dan ofensif bagi mengawal serta memadam kebakaran.

Beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
“Sehingga 5.00 petang, kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan lanjut masih dijalankan oleh pasukan bomba.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting




