
SIBU: Hospital Sibu hari ini menerima sumbangan enam unit pendingin hawa dan 12 unit kipas siling hasil inisiatif Lembaga Pelawat Hospital Sibu, bertujuan meningkatkan keselesaan pesakit.
Timbalan Pengarah Hospital Sibu, Dr Nizam Ishak, menerima sumbangan tersebut daripada penderma Chuong Soui Chang (pendingin hawa) dan Hii Thien Tiew (kipas siling).
Menurut Dr Nizam, pendingin hawa akan dipasang di wad perubatan merawat pesakit buah pinggang dan jangkitan kuman, manakala kipas siling untuk menggantikan kipas yang lama.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Sibu, Michael Lee Meng Ting berkata, pemasangan pendingin hawa dan kipas siling baharu itu dilakukan dengan segera bagi meningkatkan keselesaan pesakit.
“Lembaga berhasrat agar semua wad di hospital ini dilengkapi dengan pendingin hawa sepenuhnya. Oleh itu, lembaga berharap lebih ramai tampil memberi sokongan sumbangan untuk menjayakannya,” katanya.
Oleh Akun Giman