Enam maut, pesawat terhempas di Kenya

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA penyelamat berjalan melepasi serpihan dari lokasi nahas sebuah pesawat perubatan Kenya yang terhempas, mengorbankan sekurang-kurangnya 6 orang, di pinggir Nairobi pada 7 Ogos 2025. Foto AFP

NAIROBI: Pihak berkuasa tempatan mengesahkan sebuah pesawat terhempas di Kenya pada Khamis, mengorbankan enam nyawa. 

Anadolu Ajansi melaporkan, pesawat milik AMREF Flying Doctors itu terhempas di daerah Kiambu, Kenya dan merempuh sebuah bangunan kediaman ketika nahas berlaku.

Pesuruhjaya Daerah Kiambu, Henry Wafula berkata, mangsa di dalam pesawat terdiri daripada juruterbang, dua jururawat dan seorang doktor.

SEORANG anggota penyelamat membawa sebahagian daripada pesawat di lokasi nahas sebuah pesawat perubatan Kenya yang terhempas. Foto AFP

Dua penduduk bangunan yang terlibat turut maut, katanya kepada pemberita.

Ketua Polis Daerah Kiambu, Maurice Odanga mengesahkan jumlah korban dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan kepulan asap hitam tebal dari lokasi nahas. 

Pasukan penyelamat dilihat bertungkus lumus melakukan kerja menyelamat di tengah-tengah kebakaran, serpihan pesawat dan debu.

Identiti kesemua mangsa masih belum didedahkan. – Bernama