
KUCHING: Sebanyak enam lagi cawangan Affin Bank Bhd akan dibuka di Sarawak menjelang Julai ini menjadikan kesemuanya 14 cawangan di negeri itu, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali.
Beliau berkata penambahan daripada lapan cawangan sebelum ini merupakan sebahagian daripada komitmen bank untuk mengembangkan perkhidmatan dan memperkukuh kehadirannya di negeri itu.
Lapan cawangan itu terletak di Kuching, Sibu, Bintulu, dan Miri, manakala enam cawangan lagi akan dibuka di lokasi strategik di Sarawak.
“Komitmen kami adalah untuk melayani semua segmen, daripada pengguna individu hingga korporat dan PKS (perusahaan kecil dan sederhana), dengan perkhidmatan kewangan kami yang telah mendapat pengiktirafan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Tahun Baharu Cina Affin Bank Sarawak, malam tadi, yang dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata bank itu turut menyasarkan pertumbuhan 12 peratus dalam pinjamannya untuk Sarawak tahun ini, susulan peningkatan 10 peratus pada 2024 yang membawa jumlah pinjaman kepada RM3.2 bilion.
Affin juga merancang untuk menganjurkan Hari Korporat Affinpertamanya pada 28 Februari ini sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan perkongsian strategik di negeri itu.
“Acara ini akan menjadi platform untuk mempromosikan penyelesaian pembiayaan dan pelaburan komprehensif kami, yang disesuaikan untuk memperkukuh perniagaan, pelabur, dan komuniti di Sarawak,” katanya.
Kerajaan Sarawak kini merupakan pemegang saham terbesar Affin Bank dengan pegangan sebanyak 31.25 peratus. Ia memperoleh tambahan 26 peratus kepentingan ekuiti melalui perjanjian jual beli dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd pada 27 September tahun lepas. – Bernama