Empat wakil negara gagal lepasi pusingan kedua Terbuka China

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PASANGAN profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai turut tersingkir selepas tewas kepada pasangan pilihan kelima dari China manakala Guo Xin Wa-Chen Fang Hui dan Man Wei Chong-Soh Wooi Yik mengalami penyingkiran awal.

KUALA LUMPUR: Empat wakil negara gagal melepasi pusingan kedua Terbuka China selepas tewas kepada lawan masing-masing pada kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou, hari ini.

Perjalanan perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao berakhir di pusingan kedua apabila gagal mempertahankan kelebihan selepas memenangi set pertama sebelum tewas kepada pemain tuan rumah, Weng Hong Yang 22-20, 11-21, 18-21 dalam tempoh 70 minit.

PASANGAN baharu negara Chen Tang Jie-Clarissa San tewas dalam pertarungan tiga set kepada pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Sementara itu, gandingan baharu beregu lelaki negara Man Wei Chong-Soh Wooi Yik mengalami penyingkiran awal buat kali kedua berturut-turut selepas Terbuka Jepun minggu lalu apabila tewas kepada pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi, 16-21, 17-21.

Dalam acara beregu campuran, pasangan baharu negara Chen Tang Jie-Clarissa San tewas dalam pertarungan tiga set kepada pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-11, 14-21, 19-21.

Sementara itu, pasangan profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai turut tersingkir selepas tewas kepada pasangan pilihan kelima dari China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui, 21-23, 15-21.- Bernama