
KUALA LUMPUR, 6 April -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama empat Yang Dipertua Negeri-Negeri (dari kiri) Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Dr Abdul Rahman Abbas. Turut hadir, (dari kanan) isteri Yang Dipertua Negeri Melaka Toh Puan Asmah Abdul Rahman, isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah RM Jasni dan isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Hajjah Jamilah Ubaid. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri誕yatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) kepada empat individu kenamaan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021.
Turut berangkat pada istiadat di Istana Negara Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Mendahului senarai penerima ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Dr Abdul Rahman Abbas yang dianugerahkan darjah SUMW membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Turut menerima darjah kebesaran itu adalah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, dan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Hadir sama pada istiadat tersebut Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dan timbalannya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.
Sementara itu, Annuar dalam kenyataan berkata penganugerahan tersebut diberikan kepada tokoh yang memberikan sumbangan besar kepada kemajuan Wilayah Persekutuan.
Menurut beliau, Abdul Rahman berjasa dalam mengukuhkan jalinan perniagaan dan industri antara Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang membuka peluang perniagaan baharu serta pelaburan bagi komuniti perniagaan dan industri.
Sementara, Juhar pula memainkan peranan penting menyuntik semangat yang dibawa dalam Perjanjian Malaysia 1963 dengan Sabah adalah satu daripada rakan sekutu dalam kewujudan Malaysia.
“Kemajuan Sabah membolehkan Wilayah Persekutuan Labuan meluaskan rangka kemajuan ekonominya secara bersepadu dengan Sabah sebagai sebuah hab logistik, pengangkutan, minyak dan gas serta pelancongan,” menurut Annuar.
Menurut kenyataan itu, Ragad Kurdi adalah penaung pelbagai organisasi kebajikan dan amal bergiat aktif dalam menghulurkan sumbangan serta bantuan kewangan dan peralatan perubatan bagi menangani wabak Covid-19.
Mohd Ali pula banyak berjasa mengeratkan hubungan Melaka dan Kuala Lumpur sebagai bandar raya berkembar dalam pelbagai sektor ekonomi. – Bernama