
PETRA JAYA: Empat projek tambahan telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang bakal memberikan manfaat besar kepada rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada BDDA dan kerajaan Sarawak yang telah meluluskan tambahan empat projek berimpak tinggi itu untuk kawasan Kalaka.
“Antara empat projek tambahan yang diluluskan itu adalah kerja-kerja pemasangan voltan tinggi 11 kilovolt (KV) ‘overhead line’ dan alat ubah (transformer) 50KVA serta pengujian dan pentauliahan ke kilang beras skim padi Kampung Kaba.
“Selain itu, pemasangan lampu solar di kampung-kampung dan rumah-rumah panjang di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, selain projek menaik taraf Dewan Terbuka Sri Kalaka dan pentas di Tebingan Sungai Krian Saratok, dan keempat iaitu projek menaik taraf jalan pertanian di beberapa tempat di kawasan DUN Kalaka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat penyelarasan projek BDDA DUN N.38 Kalaka di Kompleks Dewan Undangan Negeri, di sini semalam.
Mohamad Duri bersyukur sejak agensi seperti BDDA ditubuhkan dan diluluskan penubuhannya oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) beberapa tahun lalu, pembangunan di kawasan luar bandar terutamanya di DUN Kalaka dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.
“Untuk makluman, 20 peratus daripada 25 projek BDDA di DUN Kalaka sudah siap, manakala 16 peratus dalam peringkat pelaksanaan dan 64 peratus masih dalam reka bentuk dan perancangan.
“Semua projek yang sudah siap itu adalah bagi menaik taraf jalan pertanian dan yang sedang dilaksanakan adalah untuk membaiki pintu air dan naik taraf jalan ban Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) yang bakal memberikan manfaat besar kepada penduduk di kawasan DUN Kalaka,” katanya.
Oleh Adi Safarman