
MIRI: Empat pemburu buaya dari Suai Tengah berjaya menangkap seekor buaya berukuran 3.18 meter panjang dengan lebar badan sekitar 61 sentimeter dalam satu operasi di Sungai Suai, awal pagi tadi.
Menurut salah seorang anggota pasukan Mambang Jack, buaya tersebut berjaya ditangkap sekitar 5.40 pagi selepas dikesan di kawasan sungai berkenaan.
“Operasi itu melibatkan empat pemburu iaitu Mambang, Ambrose, Madan dan Udam yang bekerjasama menjejaki reptilia tersebut sebelum berjaya menumpaskannya.
“Buaya berkenaan ditangkap menggunakan kaedah pancing sebelum berjaya dinaikkan ke darat,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Kejayaan tangkapan itu dilihat dapat membantu mengurangkan kebimbangan penduduk setempat terhadap kehadiran buaya di Sungai Suai, yang sering digunakan oleh penduduk untuk aktiviti harian dan perikanan.


Tambahnya, tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan buaya yang berjaya ditangkap oleh mereka di kawasan Suai setakat tahun ini kepada lima ekor.
“Pada 2 Jun lalu, seekor buaya sepanjang 3.56 meter berjaya ditangkap di Sungai Suai. Sebelum itu, pada 4 Mei lalu, seekor lagi buaya yang lebih besar dengan ukuran panjang 4.27 meter turut berjaya ditangkap di sungai yang sama.
“Usaha memburu dan mengawal populasi buaya dijalankan secara berterusan bagi mengurangkan risiko kepada penduduk yang sering menjalankan aktiviti di sungai dan kawasan perairan.
“Mengimbau kejayaan terdahulu, kami pernah menangkap seekor buaya jantan yang jauh lebih besar dengan ukuran 5.39 meter panjang dan dengan lebar badan sekitar 76 sentimeter, yang merupakan antara tangkapan terbesar pernah direkodkan.
“Tangkapan itu menunjukkan bahawa masih terdapat buaya bersaiz besar di kawasan sungai sekitar Suai dan memerlukan pemantauan berterusan demi keselamatan komuniti setempat,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, orang ramai yang berkunjung ke kawasan sungai turut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mematuhi langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Oleh Adum Liu