
WINDHOEK: Empat individu maut apabila sebuah pesawat ringan terhempas di kawasan Sossusvlei, Namibia, lapor Xinhua memetik pengendali sewaan tempatan Desert Air pada Isnin.
Menurut syarikat itu bangkai pesawat yang dilaporkan hilang pada Ahad ditemukan pada pagi Isnin di kawasan Sossusvlei, destinasi pelancongan popular di Gurun Namib, Namibia.
Mangsa terdiri daripada juruterbang pesawat dan tiga penumpang.
“Tiada mangsa terselamat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Desert Air Willem de Wet dalam satu kenyataan.
Menurut syarikat itu, punca nahas masih disiasat dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi sehingga penemuan awal dikeluarkan pihak berkuasa penerbangan berkaitan.
Tiada butiran lanjut mengenai identiti mangsa didedahkan setakat ini. – Bernama