Empat maut dalam nahas bas sekolah-kereta api di Belgium

Facebook
WhatsApp
SEBUAH van diletakkan bersebelahan bas yang remuk di lokasi kemalangan selepas sebuah kereta api merempuh bas sekolah di lintasan kereta api Vierhuizen di Buggenhout, kira-kira 20 kilometer di utara Brussels hari ini. Foto AFP

BRUSSELS, Belgium: Beberapa orang maut selepas sebuah bas sekolah bertembung dengan kereta api di bandar Buggenhout, Belgium hari ini, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Dua remaja, pemandu bas dan seorang dewasa meninggal dunia, manakala dua penumpang cedera parah, kata Menteri Pengangkutan Belgium Jean-Luc Crucke kepada RTL Info.

Punca kemalangan, yang berlaku kira-kira 20 kilometer ke utara Brussels, tidak diketahui.

Menurut syarikat infrastruktur kereta api Infrabel, lintasan kereta api telah ditutup ketika kemalangan berlaku.

“Rakaman pengawasan menunjukkan lampu isyarat merah, dan penghadang berada di bawah. Pemandu kereta api juga menekan brek kecemasan, namun perlanggaran tidak dapat dielakkan,” kata jurucakap Infrabel Thomas Baeken yang dipetik oleh agensi berita Belga. – Bernama