

TERPERANGKAP… Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong menyelamatkan empat ekor anak kucing yang terperangkap di atas bumbung sebuah rumah di Lorong 1B, Bandar Baru Permyjaya, Miri, pagi tadi.
MIRI: Empat ekor anak kucing yang terperangkap di atas bumbung sebuah rumah di Lorong 1B, Bandar Baru Permyjaya, di sini, berjaya diselamatkan anggota bomba pagi tadi.
Ketua BBP Lutong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.39 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati terdapat empat ekor anak kucing yang terperangkap di atas bumbung rumah seperti yang dilaporkan.
“Selepas menjalankan penilaian awal, anggota bomba melaksanakan operasi menyelamat dan berjaya menurunkan kesemua anak kucing berkenaan dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi tamat pada 9.20 pagi selepas pasukan memastikan keadaan di lokasi selamat.
Oleh Liong Chai Ling


