KUALA LUMPUR: Emirates akan mula menawarkan perkhidmatan penumpang ke 16 lagi bandar melalui pesawat Boeing 777-300ER dari 15 Jun ini, berikutan pengumuman kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk menamatkan sekatan ke atas perkhidmatan transit penumpang.
Di samping itu, mulai 17 Jun ke atas pada Rabu dan Sabtu, Emirates akan menawarkan penerbangan dari Kuala Lumpur kepada pelancong dari Malaysia yang ingin menyambung ke destinasi Emirates yang lain.
“Penumpang yang menjadi penduduk UAE dan sedang berada di Malaysia akan dapat pulang ke rumah.
“Penerbangan ke bandar-bandar berikutnya, akan disediakan melalui tempahan di emirates.com atau ejen pelancongan: Bahrain, Manchester, Zurich, Vienna, Amsterdam, Copenhagen, Dublin, New York JFK, Seoul, Kuala Lumpur, Singapura, Jakarta, Taipei, Hong Kong, Perth dan Brisbane,” kata Emirates dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan pengumuman terbaharu ini, Emirates akan menawarkan penerbangan untuk penumpang di belakang operasi kargo berjadual dari Dubai ke 29 bandar, termasuk penerbangan sedia ada ke Heathrow London, Frankfurt, Paris, Milan, Madrid, Chicago, Toronto, Sydney, Melbourne dan Manila (dari 11 Jun 2020).
Bagaimanapun, dengan sekatan perjalanan di kebanyakan negara, pelanggan diingatkan untuk memeriksa keperluan kemasukan dan keluar mereka sebelum memulakan perjalanan.
Maklumat lanjut mengenai penerbangan dan perkhidmatan semasa Emirates boleh didapati melalui https://www.emirates.com/ae/english/help/essential-travel/#75478.- Bernama