
KUALA LUMPUR: Penerjun negara Elvis Priestly Clement lega apabila kembali mencatat markah melebihi 400 mata dalam acara 10 meter (m) platform lelaki pada Kejohanan Ujian Terjun Kebangsaan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil hari ini.
Beliau berkata pencapaian itu merupakan satu perkembangan positif buat dirinya yang sedang menjalani fasa pemulihan susulan kecederaan tulang belakang, sekali gus menjadi suntikan semangat untuk kembali ke tahap prestasi terbaik.
Elvis mengakui masih dalam proses mendapatkan semula keyakinan diri, malah menyifatkan persembahannya hari ini belum mencapai tahap optimum.
“Ketika ini saya masih cari keyakinan dan apa saya boleh cakap persembahan saya hari ini bukanlah 100 peratus. Selepas ini saya akan cuba beri yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.
Sementara itu, Elvis berharap prestasi yang ditampilkannya ketika ini dapat dikekalkan bagi mencerahkan peluang dirinya untuk layak ke Sukan Asia Aichi Nagoya pada September ini.
Terdahulu, penerjun kelahiran Sarawak itu mengungguli acara 10 m platform lelaki selepas mengumpul 412.90 markah keseluruhan selepas enam terjunan.
Markah itu turut menyaksikan Elvis berjaya melepasi skor kelayakan minimum (MQS) yang ditetapkan Renang Malaysia (MAS) iaitu 380 bagi acara berkenaan.
Turut melepasi MQS di kejohanan itu adalah Muhd Anilrian Normatrud Abdullah dan Bertrand Rhodict Lises dengan masing berjaya mengumpul 403.5 dan 393.15 mata untuk menduduki tempat kedua dan ketiga. – Bernama