SIBU: Para pengguna jalan raya di Sarawak yang memandu kenderaan di Lebuh Raya Pan Borneo menjelang cuti perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) dan cuti sekolah diingatkan sentiasa memandu dengan penuh berhemah bagi mengelakkan terlibat kemalangan jalan raya.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Norizan Jili berkata, mereka (pemandu) perlu lebih fokus kepada pemanduan kerana sepanjang tersebut jumlah kenderaan berada di atas jalan raya mencatatkan peningkatan tinggi secara mendadak berbanding hari biasa.
“Antara faktor utama menyumbangkan kepada kemalangan jalan raya ialah faktor manusia seperti kecuaian dan memandu dalam keadaan tidak cukup rehat selain faktor mekanikal, jalan raya serta keadaan cuaca.
“Pemandu-pemandu perlu mengambil tanggungjawab dengan tidak meneruskan pemanduan dalam keadaan mengantuk dan mesti berhenti rehat di tempat yang selamat sebelum meneruskan perjalanan,” katanya dalam kenyataan media selepas mengadakan tinjauan dan pemeriksaan bas-bas ekspres di Terminal Bas Jalan Pahlawan Sibu bersama pasukan penguatkuasa JPJ Sibu, semalam.
Katanya, JPJ telah melancarkan operasi khas TBC 2025 secara serentak seluruh negara termasuk di Sarawak yang bermula 20 Januari hingga 9 Februari depan yang terbahagi kepada dua fasa. Fasa pertama dilaksanakan 20 hingga 28 Januari manakala fasa kedua bermula 31 Januari hingga 9 Februari.
“JPJ Sarawak telah menggerakan kira-kira 500 anggota penguatkuasa untuk melaksanakan operasi khas TBC di seluruh Sarawak pada tahun ini. Objektif strategik penguatkuasan ialah strategi mengurangkan kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
“Objektif strategik penguatkuasan ialah strategi mengurangkan kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang operasi tersebut operasi diadakan ialah Ops Motosikal; Ops Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB); Ops Teknikal dan Ops 9 Big Sin.
“Sepanjang tempoh operasi khas tersebut JPJ juga akan menguatkuasakan larangan pemanduan kenderaan barangan (KPB) pada 27 dan 28 Januari (sebelum perayaan) serta 1 dan 2 Februari (selepas perayaan),” kata beliau lagi.
Norizan berkata, pasukan-pasukan penguatkuasa JPJ akan mengadakan pemantauan dan rondaan untuk mengesan KPB yang beroperasi pada tempoh larangan yang dikuatkkuasa itu.
“Sekiranya dikesan melakukan kesalahan tersebut JPJ akan mengambil tindakan saman ke atas pemandu dan menyita kenderaan berkenaan untuk tempoh 48 jam di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Beliau berkata, sebelum operasi Khas TBC 2025 diadakan, JPJ turut mengadakan pemeriksaan teknikal ke atas bas-bas ekspres di depoh-depoh syarikat pengusaha bas ekspres di seluruh Sarawak selama seminggu bermula 13 Januari lalu bagi memastikan kenderaan berkenaan selamat digunakan di atas jalan raya.
Katanya lagi, JPJ akan mengeluarkan slip pemeriksaan berkuatkuasa dalam tempoh seminggu ke atas bas-bas ekspres yang didapati selamat digunakan dan dipamerkan di cermin depan bas.
“Bas yang dikesan terdapat masalah teknikal tidak akan dibenar beroperasi sehingga pembaikan dilakukan,” ujarnya.
Beliau menyeru orang ramai supaya menjadi mata dan telinga kepada JPJ dengan melaporkan kesalahan-kesalahan lalulintas yang berlaku di depan mata mereka bagi membolehkan tindakan segera diambil ke atas pemandu-pemandu kenderaan yang terlibat.
Oleh Akun Giman