KUCHING: Dalam dunia yang semakin digital dan pendedahan kepada skrin terlalu lama menyebabkan buku fizikal kekal menjadi pilihan utama pembaca yang mahukan tumpuan serta pemahaman lebih mendalam selain mengurangkan penggunaan perant.
Walaupun platform digital semakin meluas, ramai pembaca berpendapat buku fizikal kekal relevan sepanjang zaman kerana skrin elektronik belum cukup mampu mengatasi kelebihan yang ada pada buku fizikal.
Bagi Emily Abigail Richmond Allan, 30, memilih buku bercetak berbanding format digital merupakan strategi yang dilakukannya bagi menjaga kesejahteraan, selain menambah pengetahuan dan meningkatkan potensi diri.

“Selepas menghabiskan sepanjang hari di hadapan skrin komputer di pejabat, menyebabkan mata letih. Jadi, masa yang terluang di rumah saya hanya mahu menikmatinya tanpa peranti digital.
“Buku fizikal memberikan kepuasan tersendiri. Selepas habis sebuah buku, saya teruja untuk mencari buku yang lain pula, dan itu yang membuatkan saya terus memilih buku bercetak dan kulit keras,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada acara Big Bad Wolf Books Kuching di sini, hari ini.
Aiman Alfian, 29, turut gemar membaca buku yang boleh dipegang, khususnya dalam pendidikan awal kanak-kanak dan membantu menguruskan masa penggunaan skrin.
Dalam soal pendidikan anaknya, Aiman mengakui bahawa pembelajaran dalam talian kadangkala tidak dapat dielakkan, namun jika ada pilihan, bahan bercetak sewajarnya menjadi keutamaan.
“Jika memerlukan pembelajaran dalam talian, kita memang tidak mempunyai banyak pilihan. Tetapi jika diberi pilihan, buku fizikal sememangnya lebih baik. Kanak-kanak sudah cukup banyak menghabiskan masa melihat skrin, manakala buku fizikal memberikan pengalaman membaca yang lebih interaktif,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada lima cahaya mata, Nurul Aien Ibrahim, 39, menekankan kepentingan buku fizikal dalam perkembangan awal kanak-kanak serta memastikan minda golongan muda kekal aktif.
“Buku fizikal amat penting, terutama yang berwarna-warni. Kanak-kanak sekolah rendah sukakan warna yang terang, jadi saya sentiasa membeli buku fizikal untuk mereka. Agak jarang kanak-kanak gemar membaca secara dalam talian,” kata wanita kelahiran Kelantan yang telah menetap di Sarawak selama hampir 15 tahun itu.
Big Bad Wolf Books Kuching yang berlangsung hingga 6 September menampilkan jutaan buku pada harga berpatutan dengan diskaun hingga 95 peratus, bertujuan memastikan masyarakat pelbagai latar belakang dapat menikmati bahan bacaan berkualiti. – Bernama




