KUCHING: AirBorneo Airways Sdn Bhd (AirBorneo) mengingatkan orang ramai supaya membuat pembelian tiket penerbangan hanya melalui saluran jualan rasmi syarikat itu bagi memastikan urusan tempahan lebih selamat dan terjamin.
Syarikat penerbangan milik Sarawak itu memaklumkan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pihaknya mengesan kes penjualan semula tiket secara tidak sah oleh pihak tertentu menerusi platform dalam talian.
“Pembelian tiket sedemikian boleh menyebabkan penumpang berdepan pelbagai kesulitan selepas membuat tempahan, termasuk dikenakan harga lebih tinggi, caj pentadbiran tidak dibenarkan, kelewatan atau kegagalan pengesahan tempahan serta kesukaran mendapatkan bayaran balik atau bantuan tempahan semula sekiranya berlaku ganggung penerbangan.
“Sebaliknya, tempahan secara terus melalui AirBorneo menjamin tambang lebih tepat dan terkini tanpa sebarang caj perkhidmatan tersembunyi. Penumpang juga berhak menikmati pampasan dan perlindungan sepenuhnya di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016,” menurut kenyataan itu.
AirBorneo tidak membenarkan penjualan semula tiket pada harga lebih tinggi oleh ejen atau platform tidak rasmi dan tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap sebarang isu yang timbul daripada tempahan dibuat di luar saluran jualan rasmi.
“Penumpang dinasihatkan supaya membeli tiket hanya melalui laman sesawang rasmi AirBorneo di www.airborneo.com, aplikasi mudah alih rasmi AirBorneo yang boleh dimuat turun menerusi App Store atau Google Play, kaunter jualan tiket rasmi serta ejen pelancongan yang dilantik,” menurut kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan mengenai iklan disyaki palsu atau isu tempahan melalui pihak ketiga, orang ramai boleh menghubungi khidmat pelanggan AirBorneo di talian 1 300 22 1388 (dalam Malaysia) atau +6082537555 untuk panggilan antarabangsa. – Bernama




