Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • El Nino: NRES adakan libat urus bersama kerajaan negeri, pastikan persediaan awal- Akmal
  • NASIONAL

El Nino: NRES adakan libat urus bersama kerajaan negeri, pastikan persediaan awal- Akmal

Utusan Sarawak 6 hours ago
MENTERI Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir (tengah) bercakap kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama media dan pemain industri di Seri Negara hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan menyelaras sesi libat urus untuk memberikan taklimat terperinci berkaitan El-Nino kepada semua kerajaan negeri bagi memastikan persediaan awal dapat dilaksanakan.

 Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perkara itu diputuskan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) susulan fenomena itu yang dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga pertengahan 2027.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga telah mengaktifkan langkah kesiapsiagaan awal termasuk pemantauan cuaca 24 jam, hebahan amaran cuaca, penyediaan sistem penarafan bahaya kebakaran serta kesiapsiagaan untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan sekiranya keadaan mendesak,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata El Nino berpotensi membawa cuaca lebih panas serta pengurangan taburan hujan yang ketara termasuk sehingga 40 hingga 60 peratus di beberapa negeri.

Beliau berkata keadaan itu boleh mendatangkan risiko seperti menjejaskan bekalan air, jerebu, memberi tekanan kepada kesihatan awam, menjejaskan tanaman makanan dan komoditi, meningkatkan permintaan tenaga serta memberi kesan kepada ekonomi makro secara keseluruhan.

Akmal Nasrullah berkata pengalaman negara berdepan cuaca berkenaan pada 2015 dan 2016 dengan suhu tinggi melebihi 37 darjah Celcius telah menyebabkan penutupan 250 sekolah di utara Semenanjung, selain industri kelapa sawit juga mencatatkan kemerosotan pengeluaran sekitar 16 hingga 18 peratus.

Sementara itu, beliau berkata jumlah tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang manakala penduduk bekerja bertambah kepada 16.82 juta orang pada April lepas, dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal kukuh pada 70.9 peratus.

“Kadar pengangguran mencatat 3.0 peratus melibatkan 511.8 ribu orang. Walaupun terdapat sedikit peningkatan berbanding bulan sebelumnya, sebahagian besar penganggur iaitu 79.5 peratus masih aktif mencari pekerjaan,” katanya.

Berdasarkan data permohonan faedah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Akmal Nasrullah berkata sebanyak 7,766 pekerja kehilangan pekerjaan pada Mei lepas berbanding 7,162 pekerja pada April.

Pada masa sama, beliau berkata terdapat perkembangan positif dari segi penempatan pekerjaan dengan Data MYFutureJobs menunjukkan penempatan pekerjaan meningkat 19.0 peratus iaitu daripada 12,119 penempatan pada April 2026 kepada 14,366 penempatan pada Mei 2026, merangkumi pencari kerja melalui portal MYFutureJobs dan yang menerima manfaat SIP.

Beliau berkata kerajaan akan terus memantau isu kehilangan pekerjaan dan memperkukuh usaha padanan pekerjaan supaya pekerja yang terkesan dapat kembali bekerja dengan lebih cepat dan pendapatan isi rumah terus dilindungi.

Mengenai sektor kesihatan, Akmal Nasrullah mengulangi komitmen kerajaan untuk memperkukuh stok penimbal, memperluas sumber bekalan dan mempercepat akses kepada ubat-ubatan kritikal apabila diperlukan.

Beliau berkata antara tindakan yang telah dibuat termasuk pemeteraian memorandum kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dengan Ministry of Health, Labour and Welfare, Jepun pada 8 Jun sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara berkenaan.

Selain itu, berdasarkan pemantauan KKM hingga 8 Mei lepas, Akmal Nasrullah berkata 72 peratus item ubat-ubatan berada pada tahap risiko rendah manakala bagi peranti perubatan, 81.7 peratus berada pada tahap risiko rendah.

Mengenai pemberian pendahuluan Insentif Pembajakan kepada Pesawah sebanyak RM200 sehektar secara sekali beri kepada pesawah di Semenanjung yang memulakan penanaman padi musim 1 2026, Akmal Nasullah berkata sehingga kini, sebanyak 90 peratus atau hampir 180,000 pesawah telah menerima bayaran. – Bernama

Continue Reading

Previous: Lawatan PM Anwar buka lembaran baharu dalam kerjasama teknologi dan tenaga Malaysia-Jepun
Next: Dua anggota MALBATT 850-13 cedera ringan dalam insiden serangan udara di Lubnan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.