Eksport album K-pop Korea Selatan catat rekod tertinggi pada separuh pertama tahun ini

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SEOUL: Eksport album K-pop Korea Selatan mencatat rekod tertinggi pada separuh pertama tahun ini, didorong sebahagiannya oleh album studio kelima BTS berjudul ‘Arirang’, menurut data kerajaan yang dikeluarkan pada Jumaat, lapor Agensi Berita Yonhap.

Eksport album K-pop mencecah AS$257.48 juta bagi tempoh Januari hingga Jun, meningkat 125 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut statistik perdagangan import dan eksport yang dikeluarkan Perkhidmatan Kastam Korea.

Amerika Syarikat (AS) merupakan pengimport terbesar album K-pop dalam tempoh itu dengan nilai import berjumlah AS$74.12 juta, diikuti China sebanyak AS$61.18 juta dan Jepun sebanyak AS$45.61 juta.

KUMPULAN K-pop Korea Selatan, BTS.

Turut tersenarai dalam 10 pengimport terbesar ialah Jerman, Taiwan, Hong Kong, Belanda, Britain, Perancis dan Poland.

BTS, antara kumpulan lelaki paling popular di dunia, melancarkan album baharu pertama mereka selepas tiga tahun sembilan bulan pada Mac lepas. Album itu serta single utamanya berjaya mengungguli carta Billboard.

Terdahulu pada Februari, Blackpink melancarkan album mini ketiga berjudul ‘Deadline’, yang telah terjual hampir dua juta salinan setakat Jun. – Bernama