Jika kawasan Pantu di Sri Aman memiliki air terjun Wong Telanjing maka Lubok Antu juga tidak kurang hebatnya dengan kehadiran air terjun mereka yang tersendiri iaitu Wong Merah.
Baru-baru ini, Kelab Berbasikal Lubok Antu telah mengadakan ekpedisi ke kawasan air terjun Wong Merah di sini bersempena dengan sambutan Hari Malaysia ke-57 pada bulan lepas.
Aktiviti berkenaan telah melibatkan 16 orang peserta yang terdiri daripada guru dan anggota polis dengan Presiden Kelabnya, Abu Bakar bertindak memimpin ekspedisi ke kawasan air terjun tersebut.
Kesemua peserta terlebih dahulu telah berkumpul di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Antu seawal jam 7.00 pagi untuk sesi bacaan doa yang dipimpin oleh Guru Agama SMK Lubok Antu, Ustaz Syaifullah Ismail.
Sebaik sahaja selesai bacaan doa, kesemua peserta telah memulakan kayuhan basikal sejauh 10 kilometer dari Pekan Lubok Antu menuju ke air terjun Wong Merah dengan masa selama satu jam diperlu bagi tujuan itu.
Sepanjang perjalanan berbasikal berkenaan para peserta telah berkesempatan untuk meninjau keindahan alam semula jadi dengan ekspedisi berkenaan adalah merupakan yang pertama dianjur oleh pihak kelab tersebut ke lokasi itu.
Sebaik sahaja, para peserta telah bertindak menikmati air terjun Wong Merah dan seterusnya mengabdikan kenangan mereka di situ dengan sesi bergambar bersama bendera Jalur Gemilang dan bendera Sarawak.
Kesemua peserta berkenaan berangkat pulang setelah selesai melakukan ekspedisi ke kawasan air terjun Wong Merah berkenaan dan selamat tiba di Pekan Lubok Antu.
“Tujuan utama ekspedisi ini diadakan adalah untuk menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan Kelab Berbasikal Lubok Antu bersempena dengan sambutan Hari Malaysia ke-57 pada Rabu lepas.
“Dengan adanya aktiviti ini maka pihak kita secara tidak langsung akan dapat mengerat lagi hubungan tali silaturahim dan seterusnya menanam sikap cintakan alam sekitar dalam diri ahli kelab kami,” kata Abu Bakar.
Kelab Berbasikal Lubok Antu kata beliau menyeru penduduk setempat di sini untuk sama-sama memelihara keindahan kawasan air terjun Wong Merah agar ia dapat dinikmati oleh pengunjung yang lain pada masa akan datang.
“Bagi yang ingin ke sana pastikan kawasan air terjun Wong Merah dibersihkan dari masa ke semasa supaya khazanah alam semulajadi berkenaan sentiasa terjaga untuk tatapan pengunjung lain kelak,” kata beliau.
Terdahulu kawasan air terjun Wong Merah di sini pada kebiasaannya telah dikunjungi oleh penduduk dengan menggunakan motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.
Kawasan air terjun Wong Merah berkenaan memiliki ketinggian bangunan tujuh tingkat dengan masa antara dua hingga tiga jam diperlu oleh seseorang individu jika mahu berjalan kaki ke sana.
Oleh Valentine Ngumbang