
DI pedalaman yang dahulu sunyi daripada cahaya, kini malam diterangi harapan apabila tenaga suria menyala tanpa henti, membawa sinar baharu kepada perjalanan ilmu anak-anak di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bangkit, Song yang kini menikmati bekalan elektrik 24 jam melalui pelaksanaan sistem solar hibrid.
Guru Besar SK Nanga Bangkit, Baling Unan berkata, sistem baharu tersebut jauh mengatasi kebergantungan kepada jana kuasa diesel (genset) yang sebelum ini kerap berdepan kekangan bekalan minyak dan kerosakan teknikal.
“Manfaatnya memang banyak. Dulu kita guna genset, bekalan elektrik tidak menentu kerana bergantung kepada bekalan minyak serta keadaan genset yang kerap rosak.
“Sekarang, dengan sistem solar hibrid, kita menikmati bekalan elektrik 24 jam,” katanya ketika ditemui di sekolah tersebut.
Menurutnya, sebelum ini pihak sekolah terpaksa mencatu penggunaan elektrik berikutan kos minyak yang tinggi serta keupayaan genset yang tidak mampu beroperasi secara berterusan.

Keadaan itu menyukarkan pembelajaran murid asrama, terutama pada waktu malam.
SK Nanga Bangkit mempunyai 17 murid, dengan 15 daripadanya tinggal di asrama dan dua murid harian.
Bekalan elektrik stabil kini membolehkan murid belajar dengan lebih selesa, di samping memudahkan urusan pentadbiran sekolah.
Bagi Baling yang telah lima tahun berkhidmat di sekolah tersebut dan bakal bersara wajib pada 8 Ogos ini, peralihan daripada genset kepada solar hibrid menjadi satu pengalaman paling bermakna sepanjang perkhidmatannya.
“Jika mengenang kesusahan dahulu, memang sedih. Terpaksa bercatu dan bergantung sepenuhnya kepada genset.
“Tetapi sekarang keadaannya jauh lebih mudah dan teratur. Ini satu legasi penting untuk kelangsungan pembelajaran anak-anak di sini,” ujarnya sambil tersenyum kegembiraan.

Penolong Kanan Pentadbiran, Katherine Suda Libau berkata, sebelum ini bekalan elektrik hanya antara lapan hingga 12 jam sehari dan lazimnya dipadam dari 12.00 tengah malam hingga 5.00 pagi.
“Awal pagi masih gelap, tetapi elektrik sudah tiada. Murid bangun awal untuk mandi dan bersiap, jadi kami memang risau dari segi keselamatan. Mereka terpaksa menggunakan lampu suluh,” jelasnya.
Katanya, dengan bekalan elektrik 24 jam, kini kemudahan seperti komputer dan televisyen boleh digunakan tanpa gangguan, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang jauh lebih kondusif.
Tiga murid sekolah berkenaan, Amanda Guchi Georstin Pasang, Emliton Ferus dan Dereskson Jeddy turut meluahkan kegembiraan.
“Selepas ini kami tidak lagi perlu menggunakan lampu suluh untuk mandi dan bersiap ke sekolah. Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan,” kata mereka.

Pelaksanaan sistem di SK Nanga Bangkit merupakan sebahagian daripada inisiatif besar Kerajaan MADANI dalam memperkukuh agenda peralihan tenaga negara di sekolah luar bandar dan pedalaman.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan sistem solar hibrid di SK Nanga Bangkit merupakan sebahagian daripada inisiatif besar Kerajaan MADANI dalam memperkukuh agenda peralihan tenaga negara di sekolah luar bandar dan pedalaman.
“Perkembangan teknologi masa kini menyediakan alternatif sumber tenaga yang lebih menjimatkan dari segi pelaksanaan dan penyelenggaraan, selari dengan komitmen Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Projek Penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid dan Naik Taraf Sistem Bekalan Elektrik (2025–2027) serta penyerahan projek siap di SK Nanga Bangkit, Katibas, baru-baru ini.
Nanta turut mengucapkan syabas kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Cawangan Kejuruteraan Elektrik yang telah menggalas amanah melaksanakan transformasi bekalan elektrik di sekolah luar bandar daripada penggunaan janakuasa diesel kepada sistem solar hibrid yang lebih lestari.
Sejak 2010, sekolah-sekolah terlibat menggunakan genset diesel sebelum program solar hibrid diperkenalkan secara berperingkat mulai 2020. Program ini melibatkan 121 sekolah menerusi sembilan pakej mengikut lokaliti.
Inisiatif tersebut secara langsung menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan (KPM) dalam merapatkan jurang pendidikan antara bandar, luar bandar dan pedalaman.

Kerajaan memperuntukkan RM274.5 juta di bawah Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) bagi pelaksanaan projek ini.
Sehingga 2023, 97 sekolah telah dilengkapi sistem berkenaan, manakala 15 sekolah tambahan mula beroperasi pada 21 November 2025. Baki tujuh sekolah dijadual siap pada 2027.
Selain penyerahan Perakuan Siap Kerja (CPC), turut dilaksanakan Surat Setuju Terima (SST) bagi tiga pakej kontrak penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid untuk tempoh 2025 hingga 2027, menandakan komitmen berterusan terhadap pemantauan dan penyelenggaraan sistem.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, pembangunan fasiliti teknologi hijau ini memberi manfaat kepada lebih 3,000 murid dan 2,000 guru di pedalaman Sarawak.
“Di samping menjana penjimatan kos operasi dan penyelenggaraan sehingga 80 peratus kira-kira RM90 juta setahun berbanding kos penggunaan genset diesel yang mencecah RM115 juta setahun,” ujarnya.
Beliau turut menekankan penggunaan teknologi bateri Lithium dan Sodium, sistem pemantauan digital serta elemen kecerdasan buatan (AI) bagi pemantauan jarak jauh yang lebih cekap, sekali gus menjadi platform pemindahan teknologi dan pembangunan kepakaran tempatan di Sarawak.
“Transformasi ini bukan sekadar membekalkan elektrik, tetapi menerangi masa depan pendidikan anak-anak pedalaman dengan solusi tenaga yang lestari, selamat dan berdaya tahan,” tegasnya.
Oleh Akun Giman