
PETRA JAYA: Suasana petang yang tenang bertukar cemas dalam sekelip mata, apabila jeritan ‘api api’ bergema di ruang asrama Maahad Tahfiz Husnul Khotimah di Jalan Semerah Padi, petang semalam.
Itu antara detik yang masih menghantui Mohd Firdaus Pindi, 34, salah seorang tenaga pengajar di tahfiz tersebut yang menyaksikan detik cemas bagaimana api marak pantas memusnahkan asrama pelajar.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Sarawak, beliau menceritakan bagaimana beliau baru tiba di tahfiz tersebut sekitar 5.20 petang selepas pulang dari rumah ketika pelajar sedang mandi dan bersiap untuk makan malam.
“Lepas pelajar mandi, mereka tukar pakaian dan turun makan 5.30 petang. Masa tu bekalan elektrik terputus, tapi kami anggap biasa saja. Saya tunggu pelajar naik kelas untuk mengajar.
“Namun, situasi berubah cemas apabila seorang pelajar tiba-tiba menjerit perkataan keluar keluar, ‘api api’, kebakaran kebakaran.
“Saya keluar tengok keadaan, semua orang panik. Seorang tenaga pengajar sedang mandi masa tu, yang lain terus bantu pelajar keluar. Api marak dari hujung ke hujung bahagian atas asrama. Sangat pantas,” katanya.

Tambah Firdaus, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas pada bahagian kotak utama bangunan berdasarkan maklumat awal yang diterima daripada anggota bomba.
“Bomba kata puncanya dari bekalan kuasa utama (main power). Di atas banyak kitab, al-Quran, buku agama, almari kayu dan stor pinggan mangkuk serta kerusi fiber. Semua tu mudah terbakar dan itu punca api memang cepat marak.
“Semua pelajar tidur di aras bawah dan sedang makan ketika kejadian berlaku dan sempat menyelamatkan diri.
“Kami semua sudah alih pelajar dan motosikal pun sempat keluarkan. Baru kami telefon bomba 5.45 petang dan lima minit kemudian bomba tiba. Panggilan itu pun dibuat oleh orang kampung,” jelasnya.

Beliau mengakui insiden itu meninggalkan kesan trauma mendalam dalam kalangan pelajar terutama yang berumur seawal 10 tahun hingga 19 tahun.
“Ramai pelajar menangis, ketakutan dan tak boleh tidur. Ibu bapa pun ada telefon saya pagi ini walaupun anak mereka dah balik bercuti. Mereka kata anak-anak masih terkesan,” katanya dengan nada sebak.
Firdaus turut memaklumkan pihak Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Kementerian Pendidikan (KPM) telah turun padang malam tadi dan mengadakan perbincangan bersama pentadbiran tahfiz di masjid bersebelahan tahfiz.
“Hasil mesyuarat, pelajar diberi cuti seminggu. Dalam masa sama, Pusat Pengajian Tafaqquh Fiddin dan Tahfiz Al Makki di Semariang Batu telah menawarkan bangunan mereka sebagai tempat pengajian sementara jika kami bersetuju.
“Bantuan daripada penduduk kampung dan pihak kerajaan mula disalurkan sejak semalam, termasuk pakaian, bekalan makanan, air minuman, bantal dan alas tidur.
“Kami sangat terharu. Pelajar semua keluar sehelai sepinggang, baju semua terbakar dalam asrama. Bantuan begini sangat meringankan,” luahnya dengan nada sebak.

Firdaus juga tidak menafikan kemungkinan ibu bapa akan hilang keyakinan untuk menghantar anak ke institusi mereka selepas ini.
“Kami faham kerana ini kali kedua berlaku. Kali pertama pun disebabkan litar pintas. Selepas itu, kami tukar semua sistem pendawaian, dapat kelulusan SIRIM, pasang bekalan kuasa utama di setiap ruang.
“Bangunan juga diperiksa oleh bomba dan SESCO tahun lepas. Tapi kalau nak jadi, tetap akan jadi. Ini takdir Allah SWT,” katanya reda.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, Firdaus memaklumkan sumbangan berbentuk pembangunan boleh disalurkan kepada pihak masjid yang terletak di sebelah tahfiz tersebut manakala bantuan harian boleh disampaikan terus kepada pihak Maahad Tahfiz Husnul Khotimah.
Oleh Masrin Affirah