Eksklusif: Biah pelihara warisan Iban melalui hasil kraftangan

Facebook
WhatsApp
BIAH Rambor bergambar bersama kraftangan di gerai jualannya di Dapur Sarikei & Jualan, hari ini.

SARIKEI: Minat yang bermula daripada mengikuti kursus anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JKWS) pada 2019 telah mengubah kehidupan Biah Rambor, 52, apabila beliau kini berjaya menjadikan hasil kraftangan tradisional sebagai sumber pendapatan sampingan untuk membantu keluarga.

Biah yang menyertai Dapur Sarikei & Jualan sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026, berkata pelbagai jenis kraftangan tradisional dijual kepada pengunjung sepanjang program berlangsung.

Katanya, antara hasil kraftangan yang dijual ialah kain buriek, tudung saji berhias, manik-manik, baju gagong, anyaman tradisional, baju buriek untuk lelaki dan wanita, selampai (selendang) yang sesuai dipakai oleh lelaki dan wanita serta kain sulaman tenunan asli Iban.

BIAH Rambor bergambar bersama kraftangan di gerai jualannya di Dapur Sarikei & Jualan, hari ini.

Selain itu, beliau turut menghasilkan skirt daripada kain pua kumbu, tudung saji bermotif Jalur Gemilang dan bendera Sarawak, beg kait tangan serta bakul anyaman yang dihasilkan sendiri.

Tambahnya, penglibatan dalam bidang kraftangan bukan sahaja memberi peluang untuk menambah ilmu pengetahuan, malah mampu menjadi sumber pendapatan sekiranya diusahakan dengan penuh kesungguhan.

“Mempelajari kraftangan bukan hanya untuk menambah ilmu pengetahuan, ia juga boleh dijadikan sumber rezeki kita sendiri.

“Minat saya terhadap seni anyaman tudung saji berhias bermula selepas mengikuti kursus anjuran JKWS Cawangan Sarikei pada 2019,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di Dapur Sarikei & Jualan, hari ini.

Selepas menamatkan kursus tersebut, beliau terus mempraktikkan kemahiran yang dipelajari di rumah sambil memperbaiki teknik anyaman dari semasa ke semasa.

“Saya mula berminat menganyam tudung saji berhias ini pada 2019.

ANTARA hasil kraftangan yang dijual oleh Biah.

“Saya mengikuti kursus anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JKWS) Cawangan Sarikei dan mula belajar menganyam kraftangan tudung saji berhias dari hari ke hari sehingga berjaya.

“Setelah yakin ia mampu dihasilkan menjadi kraftangan yang cantik dan unik, saya mula menjadikannya sebagai sumber rezeki untuk menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Mengimbau detik awal menceburi bidang itu, Biah berkata percubaan pertamanya menghasilkan tudung saji berhias tidak begitu menjadi, namun beliau enggan berputus asa.

“Pada mulanya selepas mengikuti kursus JKWS, saya belajar sendiri di rumah. Percubaan pertama tidak begitu menjadi.

“Saya tidak berputus asa dan memberanikan diri belajar daripada mereka yang lebih mahir dan berpengalaman,” katanya.

Usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan dalam bidang kraftangan tudung saji berhias akhirnya membuahkan hasil apabila beliau pernah dijemput sebagai tenaga pengajar menganyam tudung saji berhias sempena Kursus Elev8 semasa Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei 2022.

Menurut Biah, pengalaman berkongsi ilmu bersama peserta kursus merupakan antara detik yang paling membanggakan sepanjang penglibatannya dalam bidang kraftangan.

“Saya berharap lebih ramai masyarakat, khususnya generasi muda, berminat mempelajari seni kraftangan tradisional agar warisan budaya Sarawak terus dipelihara dan pada masa sama mampu menjadi sumber pendapatan pada masa hadapan,” katanya lagi.

Oleh Earl Anek