Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KEBAKARAN
  • Eksklusif: BBP Bintangor pergiat pemantauan di kawasan berisiko, tingkat kesedaran bahaya pembakaran terbuka musim kering
  • KEBAKARAN

Eksklusif: BBP Bintangor pergiat pemantauan di kawasan berisiko, tingkat kesedaran bahaya pembakaran terbuka musim kering

Utusan Sarawak 4 hours ago
ANTARA kes kebakaran belukar yang dihadiri oleh pihak bomba, baru-baru ini . Foto BBP Bintangor

BINTANGOR: Aktiviti pembakaran terbuka ketika musim kering atau cuaca panas boleh meningkatkan risiko kebakaran tidak terkawal selain menjejaskan kualiti udara dan kesihatan masyarakat, khususnya di kawasan penempatan berhampiran hutan, kebun dan ladang.

Keadaan cuaca panas dan tiupan angin yang kuat juga mempercepatkan penyebaran api sehingga berpotensi merebak ke kawasan kediaman, sekali gus menimbulkan ancaman kepada keselamatan penduduk serta menjejaskan kesiapsiagaan pasukan penyelamat sekiranya berlaku kecemasan lain secara serentak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, masyarakat perlu lebih peka terhadap risiko pembakaran terbuka kerana kesannya bukan sahaja melibatkan kebakaran, malah turut memberi implikasi kepada kesihatan awam dan alam sekitar.

PIHAK bomba menjalankan pemantauan di kawasan berisiko di Batu 12, Jalan KJD pada semalam. Foto BBP Bintangor

Katanya, pembakaran terbuka boleh menyebabkan pencemaran udara serta jerebu yang memberi kesan kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.

“Selain menjejaskan kesihatan, pembakaran terbuka juga boleh menyebabkan kebakaran tidak terkawal yang mudah merebak ke kawasan berhampiran termasuk hutan, ladang dan rumah penduduk.

“Peningkatan insiden kebakaran akibat aktiviti pembakaran terbuka turut memberi tekanan kepada keupayaan pasukan bomba kerana sumber tenaga dan logistik perlu digerakkan bagi menangani kebakaran yang sebenarnya boleh dielakkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai supaya mengelakkan pembakaran terbuka terutama ketika cuaca panas dan kering yang boleh mempercepatkan penyebaran api.

“Antara langkah pencegahan yang boleh diamalkan termasuk melupuskan sisa secara lebih selamat seperti melalui pengkomposan atau sistem pelupusan sampah yang disediakan pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, masyarakat juga digalakkan melaporkan segera sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan penduduk setempat.

“Orang ramai turut dinasihatkan memastikan sebarang sisa pembakaran dipadam sepenuhnya menggunakan air atau tanah sekiranya terdapat punca api yang berpotensi mencetuskan kebakaran,” katanya.

Katanya, dalam usaha memperkukuh pemantauan di kawasan berisiko, pihaknya turut melaksanakan rondaan pemantauan di kawasan berisiko pembakaran terbuka di Batu 12, Jalan KJD pada semalam.

“Hasil pemantauan mendapati keadaan cuaca berada dalam keadaan baik selain lokasi berkenaan terkawal dan tiada sebarang aktiviti pembakaran terbuka dikesan sepanjang rondaan dijalankan.

“Saya dan Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Bakar Ujang turut melaksanakan program kesedaran awam dengan menyantuni penduduk Rumah Sumbang, Batu 12, Jalan KJD, melibatkan kira-kira 15 penghuni melalui taklimat berkaitan pencegahan kebakaran, pengenalan penggunaan alat pemadam api dan tatacara pengendalian kebakaran melibatkan dapur memasak selain pengedaran risalah kempen mencegah pembakaran terbuka,” katanya lagi.

Mahmudin berkata, pemantauan berkala di kawasan berisiko dan pelaksanaan program kesedaran komuniti akan terus dipergiat bagi memastikan masyarakat lebih peka terhadap bahaya pembakaran terbuka terutama ketika berdepan keadaan cuaca panas dan kering.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama masyarakat memainkan peranan penting dalam mencegah kejadian kebakaran daripada berlaku, sekali gus membantu melindungi keselamatan penduduk, memelihara alam sekitar dan memastikan kesejahteraan komuniti setempat terus terjamin. 

Oleh Earl Anek

Tags: KEBAKARAN

Continue Reading

Previous: Kebakaran belukar di Jalan Ulu Oya berjaya dipadam
Next: Kebakaran belukar Daro merebak cecah 10 hektar hari kedua

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.