KUCHING: Kek batik sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita.
Ia menjadi kegemaran dan pilihan orang ramai.
Sinonimnya, secara umum, kita ketahui kek batik adalah kek yang berasaskan roti yang disaluti dengan coklat (kek batik coklat) ataupun kek batik horlick.
Lain pula dengan kek batik yang dihasilkan oleh Siti Salmiah Juraij, 35, atau dikenali dengan BakedbySall yang mengadaptasikan corak kain batik di atas permukaan kek batik.
Katanya, beliau mahukan sesuatu kelainan pada kek batik yang dijual oleh dirinya.
“Saya suka mencuba sesuatu yang baharu dan kreatif. Tidak menang tangan sekiranya mendapat tempahan kek batik sekali dengan corak di atasnya.
“Memulakan perniagaan sejak 2020 pada ketika itu pandemik Covid-19 jadi banyaklah idea untuk menghasilkan pelbagai jenis kek, tart, swissroll dan banyak lagi.
“Saya akui memang permintaan terhadap kek batik ini agak luar biasa. Bukan sahaja di Kuching malah di luar kawasan Kuching pun ada yang menempah,” katanya ketika ditemu bual Utusan Sarawak.
Kek batik adalah sejenis pencuci mulut di Malaysia yang kaedah pembuatannya sangat mudah.
Jelasnya lagi, bukan sahaja fokus pada kek batik malah turut menerima tempahan kek, tart dan swisroll pada Hari Guru, Hari Ibu, pelbagai perayaan dan acara rasmi.
“Memandangkan Hari Ibu sudah pun berlalu, kini tempahan tertumpu kepada sambutan Hari Guru pula.
“Pada kebiasaannya, para ibu bapa akan menempah kek untuk sambutan Hari Guru. Kebiasaannya saya akan mengehadkan tempahan kek atas sebab corak permintaan pelanggan adalah berbeza.
“Kek akan dijual pada harga RM45 ke atas mengikut corak permintaan pelanggan. Kek yang dihasilkan adalah berdasarkan tempahan bukannya stok sedia ada.
“Penghasilannya tidaklah begitu lama hanya mengambil masa 3 hingga 4 jam,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar perniagaan kecil-kecilan ini akan terus berkembang dan mendapat sambutan orang ramai.
Oleh Azreen Keria